Mangsa banjir di Sabah turun kepada 474 orang

Mangsa banjir di Sabah turun kepada 474 orang

Semua mangsa masih berlindung di empat pusat pemindahan sementara di empat daerah yang terjejas akibat banjir.

Hujan lebat beberapa hari lalu menyebabkan daerah Penampang, Putatan, Tuaran dan Tamparuli di Sabah dilanda banjir. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Sebanyak 474 mangsa daripada 144 keluarga masih berlindung di empat pusat pemindahan sementara (PPS) yang diaktifkan di daerah terjejas akibat banjir di Sabah, pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir dari Penampang, Putatan, Tuaran dan Tamparuli itu menurun berbanding 481 orang daripada 147 keluarga yang direkodkan petang semalam.

Jumlah mangsa ditempatkan di PPS Dewan Kebudayaan Penampang yang dibuka sejak Ahad lepas, berkurangan kepada 285 mangsa daripada 93 keluarga berbanding 296 orang daripada 97 keluarga, petang semalam.

“Jumlah mangsa banjir di Dewan Sri Putatan masih kekal 138 orang daripada 37 keluarga,” menurut kenyataan itu.

Menurut sekretariat, jumlah mangsa dipindahkan ke PPS Dewan Balai Raya Kampung Tutu Selupoh, Tuaran pula meningkat sedikit kepada 33 orang daripada sembilan keluarga berbanding 29 orang daripada lapan keluarga sebelumnya.

Di PPS Dewan Balai Raya Kampung Bontoi, Tamparuli pula, jumlah mangsa kekal 18 orang daripada lima keluarga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.