
Shahidan Kassim (PN-Arau) sebelum itu menyeru audit dijalankan berhubung peruntukan Ahli Parlimen.
“Saya minta supaya auditkan apa yang telah diberi. Peruntukan itu diberi kepada siapa?
“Saya dengar cerita diberi kepada Kemas. Apa ada Kemas?.. DAP nak tutup Kemas. Kami pertahankan Kemas,” katanya ketika membahaskan RUU Audit (Pindaan) 2024.
Kenyataan ini mendorong Teresa Kok (PH-Seputeh) dan RSN Rayer (PH-Jelutong) menuntut Shahidan menarik balik dakwaan itu.
“Bila DAP kata nak tutup Kemas? Tarik balik,” kata Kok.
Selepas Timbalan Speaker Alice Lau mengarahkan Shahidan menarik balik dakwaan itu, Shahidan menjawab: “Saya tarik balik perkataan ‘DAP’ tapi saya sebut ‘DAP juga dalam kerajaan PH nak menutup Kemas’.”
“Mana buktinya? Kenapa merapu?” jawab Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera).
Selepas diasak supaya kemukakan bukti, Shahidan membalas: “…’cuba’ menutup Kemas, bukan tutup…’cuba’.”
“Lagi teruk,” jawab Syerleena.
Timbalan speaker kemudian memaklumkan kepada Rayer bahawa beliau boleh membuat suatu usul supaya Shahidan menunjukkan bukti, dan sekiranya Shahidan gagal berbuat demikian, akan dibawa kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.