
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, perkara itu akan dibangkitkan Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) kepada menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup pada sesi Soal Jawab Lisan.
Beliau ingin tahu tahap kerjasama yang diberikan pemain industri terhadap cadangan pengenalan undang-undang itu.
Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) pula meminta penjelasan menteri pertahanan sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk mengkaji semula lokasi kem-kem tentera sedia ada yang jauh dari sempadan Malaysia-Thailand untuk dipindahkan ke lokasi lebih strategik.
Pada sesi sama, Chong Zhemin (PH-Kampar) meminta penjelasan menteri komunikasi berhubung status terkini pelaksanaan 5G dwirangkaian dan jumlah pegangan ekuiti yang akan dilepaskan Digital Nasional Bhd (DNB) kepada syarikat telekomunikasi setelah pelaksanaan projek itu selesai kelak.
Usai sesi itu, Dewan Rakyat akan menyambung perbahasan bagi usul Rang Undang-Undang Audit (Pindaan) 2024 yang dibacakan buat kali kedua semalam.
Menteri perdagangan dalam Negeri dan kos sara hidup juga dijadual membacakan buat kali kedua Rang Undang-Undang Perkongsian Liabiliti Terhad (Pindaan) 2024.