KPK cadang cukai keuntungan luar biasa diserah untuk tanaman semula sawit

KPK cadang cukai keuntungan luar biasa diserah untuk tanaman semula sawit

Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani berkata formula pengiraan cukai terbabit tidak lagi relevan memandangkan peningkatan kos penghasilan satu tan metrik minyak sawit.

Johari Ghani berkata Kementerian Perladangan dan Komoditi akan mencadangkan perkara itu kepada Kementerian Kewangan untuk belanjawan seterusnya.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mahu mencadangkan supaya kutipan cukai keuntungan luar biasa (windfall tax) dikembalikan semula kepada pengusaha untuk tanaman semula pokok sawit.

Menterinya Johari Ghani menyifatkan formula pengiraan cukai terbabit tidak lagi relevan memandangkan peningkatan kos tinggi bagi setiap penghasilan satu tan metrik minyak sawit.

“Dahulu kos mengeluarkan satu tan metrik minyak sawit RM1,800, hari ini kosnya mencecah RM2,800 hingga RM3,200 bergantung saiz, jadi formula windfall tax waktu kos RM1,800 mungkin sesuai tapi sekarang kosnya antara RM2,800 hingga RM3,200 mungkin dah tak sesuai.

“Kita akan bawa kepada Kementerian Kewangan (untuk) pembentangan bajet akan datang, kementerian kami dengan kerjasama MPOB (Lembaga Minyak Sawit Malaysia) untuk olah balik akses cukai levi, pastikan setiap duit kita kutip pulang balik kepada mereka buat penanaman semula,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) sama ada KPK sedia mengembalikan kutipan cukai keuntungan luar biasa kepada pemain industri kelapa sawit.

Kadar levi keuntungan luar biasa sebanyak 3% dikenakan terhadap harga minyak sawit mentah (MSM) melepasi RM3,000 satu tan metrik di Semenanjung Malaysia dan melebihi RM3,500 satu tan metrik di Sabah dan Sarawak.

Pemain industri sebelum ini menyuarakan kebimbangan mereka kerana kos telah meningkat kepada hampir RM3,000 setiap tan metrik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.