Jenama ‘dacing’ tetap jadi pilihan, kata pemimpin muda MCA

Jenama ‘dacing’ tetap jadi pilihan, kata pemimpin muda MCA

Bagaimanapun, ketua penerangan Pemuda MCA berkata parti itu tidak menolak sebarang kemungkinan termasuk menggunakan lambang sendiri.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Chee Seong, yakin BN akan kembali jadi pilihan rakyat sekiranya pemimpin tonjolkan kepimpinan.
PETALING JAYA:
MCA kekal dengan pendirian menggunakan lambang Barisan Nasional pada PRU16, namun tidak menolak sebarang kemungkinan termasuk menggunakan logo sendiri bergantung pada keperluan semasa.

“Sebagai sebuah parti politik yang matang, MCA pastinya sedia menghadapi sebarang kemungkinan dan akan membuat keputusan mengikut kesesuaian dan realiti semasa,” kata Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong.

Bagaimanapun, beliau berpendapat isu lambang tidak perlu lagi dibangkitkan apabila Pengerusi Zahid Hamidi menjelaskan gabungan itu menggunakan logo ‘dacing’ pada pilihan raya akan datang.

“Maka tidak timbul isu kenapa BN perlu berpecah dan menggunakan bendera parti masing-masing,” katanya kepada FMT, mengulas saranan seorang ahli akademik supaya Umno menggunakan lambang sendiri pada PRU16.

Semalam, FMT melaporkan pandangan Azmi Hassan bahawa BN ‘entiti hampir lumpuh’ dan menyarankan Umno menggunakan lambang sendiri memandangkan simbol parti itu ‘masih kuat dan lebih berkesan’ dalam politik berbanding BN.

Gesaan itu menyusul kenyataan Zahid yang menyatakan gabungan itu akan menggunakan lambang sendiri pada PRU16, walaupun bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Beberapa pemimpin Umno termasuk Ahli Majlis Kerja Tertinggi Puad Zarkashi menyanggah saranan Azmi, menegaskan Umno perlu bergerak dalam sebuah gabungan besar sebagai bukti ia parti berbilang kaum.

Umno pemegang terbesar daripada 30 kerusi Parlimen yang dimenangi BN pada PRU15 iaitu sebanyak 26, diikuti dua di tangan MCA, serta satu MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Mengulas lanjut, Neow berkata kenyataan BN ‘entiti hampir lumpuh’ tidak tepat kerana semua parti politik pernah berdepan situasi ‘pasang surut’.

Beliau juga percaya kemampuan BN mentadbir negara lebih 60 tahun masih diperlukan di peringkat persekutuan mahupun negeri.

“Apa yang penting, BN perlu terus memperkukuhkan jalinan kerjasama dan persefahaman di antara parti-parti komponen. Hanya dengan kesepaduan dan semangat kerjasama yang kukuh, BN dapat bangkit semula dan meraih sokongan rakyat,” katanya.

Katanya, BN perlu kembali ke landasan asal perjuangan iaitu demi rakyat dan negara.

“Saya yakin sekiranya pemimpin BN dapat menonjolkan ciri-ciri kepimpinan yang baik dan konsisten dalam memperjuangkan kepentingan rakyat, BN akan kembali menjadi pilihan utama rakyat dalam mana-mana pilihan raya di masa depan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.