
Pengerusinya, Noor Azimah Abdul Rahim berkata hakikatnya pelajar cemerlang lepasan SPM sudah pun mempunyai tempat matrikulasi mereka berdasarkan sistem kuota sedia ada.
“Jika dilihat sistem kuota sedia ada, dalam 40,000 tempat matrikulasi, 90% adalah untuk Bumiputera, 5.5% atau 2,200 tempat untuk pelajar Cina dan pelajar India diberi 3.5% atau 1,400 tempat.
“Kemungkinan besar pelajar cemerlang 10A yang memohon sudahpun ada tempat matrikulasinya berdasarkan sistem kuota ini,” katanya kepada FMT.
Azimah turut menyifatkan jaminan itu semata-mata ‘kata indah penyeri mata’ yang sebenarnya tiada isu.
Pada Isnin, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju pelajar bukan Bumiputera yang mendapat keputusan cemerlang SPM 10A ke atas layak melanjutkan pengajian ke matrikulasi.
Dalam pada itu, Azimah berkata jika diteliti dengan mendalam, kebanyakan pelajar SPM hanya mengambil sembilan subjek sahaja.
Beliau mempersoalkan adakah ramai pelajar bukan Bumiputera yang meraih 10A SPM mahukan tawaran matrikulasi.
“Mereka lebih impikan ialah biasiswa JPA yang menawarkan kemasukan di universiti luar negara, ataupun mahukan jaminan penempatan untuk jurusan doktor perubatan,” katanya.
Azimah berkata, pelajar cemerlang dilihat lebih memandang ke negara lain untuk destinasi mereka menyambung pelajaran.
Beliau berkata, antaranya ada pelajar yang mempunyai impian mendapat biasiswa Asean Kementerian Pendidikan Singapura.
“(Ada yang sudah) menunggu dan mencari pelajar (paling) cemerlang dan membimbing mereka dari mula.
“Kita berpeluang untuk memikirkan dan menghalang krisis ‘brain drain’ ini dengan memberikan penawaran yang setara kepada semua pelajar yang paling cemerlang,” katanya.