Dakwa peruntukan dilencong, 3 parti lapor polis terhadap Wan Fayhsal

Dakwa peruntukan dilencong, 3 parti lapor polis terhadap Wan Fayhsal

Naib Ketua Umno Machang, Mohd Fakaaruddin Ismail menafikan sekeras-kerasnya kenyataan Ahli Parlimen Machang itu yang dianggapnya fitnah, berniat jahat dan berpandangan serong terhadap parti kerajaan.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dilaporkan mendakwa peruntukan sepatutnya diterima beliau sebagai wakil rakyat dilencongkan kepada parti politik menyokong kerajaan perpaduan. (Gambar Facebook)
MACHANG:
Wakil tiga parti politik dalam kerajaan perpaduan serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Parlimen Machang membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Machang daripada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Naib Ketua Umno Machang, Mohd Fakaaruddin Ismail berkata laporan polis oleh beliau, wakil Amanah serta PKR itu susulan dakwaan Wan Fayhsal semalam mengatakan peruntukan kepadanya dilencongkan buat parti politik menyokong kerajaan perpaduan.

Beliau menafikan sekeras-kerasnya kenyataan Ahli Parlimen Machang itu yang dianggapnya fitnah, berniat jahat, selain mempunyai pandangan serong terhadap parti politik kerajaan perpaduan.

“Kenyataan Wan Ahmad Fayhsal adalah fitnah dan kami wakil dari parti politik kerajaan perpaduan menafikan dakwaan itu, kami tidak menerima sebarang peruntukan seperti didakwa beliau.

“Dakwaan dilontarkan itu tidak masuk akal, sepatutnya beliau perlu bercakap berpaksikan fakta. Malah, tidak pernah berlaku dalam sejarah peruntukan dari kerajaan untuk kawasan Parlimen dilencongkan kepada parti politik,” katanya selepas membuat laporan polis di IPD Machang.

Kira-kira 100 penyokong kerajaan berhimpun di sini bagi menyuarakan sokongan dan tanda protes secara aman terhadap Wan Fayhsal.

Semalam, media melaporkan Wan Fayhsal mendakwa peruntukan sepatutnya diterima beliau sebagai wakil rakyat dilencongkan kepada parti politik menyokong kerajaan perpaduan.

Fakaaruddin berharap polis akan mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen itu sebagai pengajaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.