Belum ada kertas dasar penyasaran subsidi RON95, kata Anwar

Belum ada kertas dasar penyasaran subsidi RON95, kata Anwar

Anwar Ibrahim berkata kerajaan ada melakukan kajian penyasaran subsidi RON95 itu namun belum sampai ke peringkat sedia kertas dasar untuk dilaksanakan.

diesel
Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan melihat pelaksanaan penyasaran subsidi diesel sebelum memperluaskannya ke RON95.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan belum mengemukakan sebarang kertas dasar berkaitan rancangan pelaksanaan penyasaran subsidi RON95, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata kajian berhubung rancangan itu ada dilakukan sebelum ini namun belum dilaksanakan dan memulakannya dengan penyasaran subsidi bagi diesel, elektrik dan ayam.

“Tentang penyasaran subsidi (RON95), setakat ini belum ada kertas dasar boleh membawa kita untuk melaksanakan dengan cepat. Itu saya boleh beritahu.

“Ada kajian tapi kita fikir lebih baik lihat dulu langkah diambil (penyasaran subsidi) elektrik, ayam dan diesel dibuat tahun ini dan tahun lalu, kita tengok kesan dulu bagaimana tentang reaksi rakyat kemudian baru kita sedia berunding apakah (ada) keperluan,” katanya.

Anwar menjawab pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang bertanyakan sama ada kerajaan berhasrat melaksanakan penyasaran subsidi RON95 pada waktu pertanyaan perdana menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjelaskan penyasaran semula subsidi perlu dilaksanakan dengan teliti dan kerajaan berhati-hati dalam melaksanakannya.

“Penyasaran subsidi ini sukar dilaksanakan, kalau tanya saya RON95 patut laksanakan lama, tapi tak mudah.

“Masalah 3.8 juta orang asing ambil minyak ini, orang kaya pakai Rolls Royce pun pakai minyak ini yang kita beri subsidi. Bagaimana nak selesaikannya.

“Apakah ada kemungkinan masa akan datang? Saya tak tolak apa kemungkinannya…seluruh fokus kita sekarang adalah penyasaran subsidi diesel,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.