
Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) berkata, had 50 HSU selaras piawaian pelepasan di bawah Perjanjian Rangka Kerja Asean mengenai Kemudahan Barangan dalam Transit.
“Enam bulan sebelum pelaksanaan dari 1 Okt 2025 hingga 31 Mac 2026, NEA akan mengeluarkan nasihat kepada kenderaan diesel komersial asing yang memasuki Singapura untuk mengingatkan mereka tentang had baharu dan tarikh pelaksanaan,” kata agensi itu dalam kenyataan.
Ketika ini, katanya, jika pelepasan asap kenderaan diesel komersial tempatan atau asing didapati melebihi 40 HSU, pemandu akan dikenakan denda komposisi, manakala kenderaan diesel komersial asing dengan 60 HSU atau lebih tidak dibenarkan memasuki Singapura.
Sementara itu, motosikal berdaftar asing yang didaftarkan di negara asal mereka sebelum 1 Julai 2003 tidak dibenarkan berada di jalan raya Singapura mulai 1 Julai 2028 untuk mematuhi piawaian pelepasan republik itu.
Ini lanjutan kepada peraturan diumumkan pada April 2018 melibatkan motosikal tempatan kerana motosikal lebih lama ini umumnya lebih mencemarkan berbanding motosikal mematuhi piawaian pelepasan Euro lebih baharu.
Pemandu yang tidak mematuhi peraturan boleh dikenakan denda sehingga SGD2,000 (RM6,960) untuk kesalahan pertama bawah Peraturan Perlindungan dan Pengurusan Alam Sekitar (Pelepasan Kenderaan).
NEA berkata, pihaknya mengambil pendirian tegas terhadap ketidakpatuhan kepada piawaian pelepasan untuk melindungi kualiti udara di Singapura.