
Semalam, wakil rakyat Bersatu yang berpaling tadah itu mengumumkan tidak bertanding PRK DUN Nenggiri yang akan diadakan 17 Ogos ini.
Ahli Parlimen Gua Musang yang juga penyandang DUN Nenggiri berkata, beliau sudah bekerja di kawasan berkenaan sebelum PRU15 dan memohon kepimpinan kerajaan perpaduan mempertimbangkan perkara itu.
“Memang saya akan minta pimpinan parti beri peluang (bertanding jika berlaku PRK)…di Gua Musang saya bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PRU15), bukan kerusi sasaran PN (Perikatan Nasional) , kita tak diberi apa-apa fasiliti sebab Gua Musang bukan kerusi Parlimen sasaran, kerana kekebalan Tengku Razaleigh Hamzah.
“Tapi saya dua tahun berusaha, buat aktiviti, menarik minat pengundi muda, saya dah kerja sejak 2020, kenapa nak biar orang lain bertanding. Saya akan guna alasan ini untuk izinkan pihak PH dan BN (Barisan Nasional) beri peluang kepada saya,” katanya pada sidang media di Parlimen.
Pada PRU15 Azizi yang bertanding menggunakan logo PAS mengalahkan Tengku Razaleigh daripada BN dengan majoriti 163 undi.
Pada 24 Jun lalu Speaker Dewan Rakyat Johari Abbul mengesahkan menerima notis daripada Ketua Whip Bersatu Ronald Kiandee dan akan membuat keputusan dalam 21 hari berhubung permohonan mengosongkan enam kerusi wakil rakyat menentang parti itu.
Selain Azizi, kerusi terbabit dan penyandangya adalah Zahari Kechik (Jeli), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Azizi, Zahari, Syed Hussin, Zulkafperi dan Iskandar terlucut keahlian kerana gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu untuk menzahirkan ikrar taat setia selain terus menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Keahlian Suhaili pula terhenti kerana memfailkan saman ke atas Bersatu pada 19 Dis tahun lalu.
Pada 19 Jun lalu Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Bersatu menyerahkan notis pelucutan keahlian Azizi.