RM5,000 dapat kad palsu UNHCR, 5 dalang warga Myanmar dicekup

RM5,000 dapat kad palsu UNHCR, 5 dalang warga Myanmar dicekup

Sindiket itu dipercayai sudah beroperasi sekitar enam tahun lalu.

Warga asing etnik Arakan yang mencari kerja di Kluang menjadi sasaran utama sindiket.(Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sindiket pemalsuan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berjaya ditumpaskan selepas beroperasi kira-kira enam tahun lalu.

Dalam operasi imigresen Johor di sebuah rumah kedai pada Rabu lalu, lima warga Myanmar dipercayai dalang ditahan melibatkan empat lelaki dan seorang wanita berusia 26 hingga 49 tahun.

Pengarah imigresen negeri, Mohd Rusdi Mohd Darus, berkata sindiket mengenakan caj bayaran RM5,000 dengan menjadikan warga etnik Arakan yang datang ke Kluang untuk mencari pekerjaan.

“Sindiket dipercayai aktif sejak lima hingga enam tahun lepas. Sasaran mereka ialah warga asing etnik Arakan yang datang ke Kluang mencari pekerjaan dan mempunyai masalah dokumen perjalanan. Caj bayaran kad ialah RM5,000 seorang,” katanya menurut Bernama pada sidang media di Johor Bahru.

Beliau berkata, turut dirampas dalam operasi itu dua pasport Myanmar, 12 keping Kad Arakan, sebuah telefon pintar jenama Oppo, borang pendaftaran UNHCR dan wang tunai RM15,855.

Dalam serbuan itu turut ditemukan tiga lelaki Myanmar berusia 35 hingga 49 tahun yang dikurung sejak dua minggu lalu dipercayai kerana belum mendapat pekerjaan dan diarahkan menunggu di premis itu sehingga diambil majikan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63; dan Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

Dalam kes berasingan, Rusdi berkata, satu sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin ditumpaskan selepas memberkas lima lelaki warga Indonesia berusia 21 hingga 49 tahun di sebuah rumah pekerja ladang kelapa sawit di Mersing, pada 2.20 pagi, hari ini.

“Pemantauan selama empat jam di lokasi yang terletak di kawasan ladang kelapa sawit itu berjaya menahan lima individu itu dengan kesemuanya ditahan ketika cuba melarikan diri ke dalam ladang dan ada yang bersembunyi di bawah katil,” katanya.

Rusdi berkata, rumah itu dipercayai dijadikan sebagai transit bagi kegiatan penyeludupan dan modus sindiket dengan menyeludup masuk warga asing ke negara ini melalui laluan haram di perairan Johor.

“Bayaran yang dikenakan oleh sindiket ini sebanyak RM3,000 setiap seorang dan RM100 untuk penghantaran ke rumah transit berkenaan sebelum di hantar ke lokasi-lokasi lain,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55E Akta Imigresen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.