KPDN buka 15 kertas siasatan babit stesen minyak di sempadan

KPDN buka 15 kertas siasatan babit stesen minyak di sempadan

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata jika didapati bersalah, semua stesen itu berdepan risiko digantung operasi.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata siasatan dan risikan mendapati kebanyakan stesen minyak di sempadan negara itu disyaki bersekongkol menyeludup bahan api ke negara jiran. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Sebanyak 15 kertas siasatan terbaharu dibuka ke atas beberapa stesen minyak dalam radius 50km dari sempadan Malaysia-Thailand mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata sekiranya didapati bersalah, semua stesen itu berdepan risiko digantung operasi.

“Siasatan dijalankan KPDN Kelantan sudah selesai dan dihantar ke ibu pejabat di Putrajaya. Kami menjangkakan keputusan akan diperolehi dalam masa terdekat.

“Pihak kami sudah membuat pengesyoran agar stesen itu digantung operasi kerana terlibat secara langsung dengan pihak tertentu menyeludup keluar bahan api ke negara jiran,” katanya ketika dihubungi.

Selain siasatan bawah Akta Kawalan Bekalan, Azman berkata, pihaknya turut melakukan siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau berkata, sejak 2020 hingga sekarang, 31 kes membabitkan stesen minyak dikenakan kompaun berjumlah RM129,300.

Menurutnya, antara kesalahan dikesan dilakukan stesen minyak itu termasuk melanggar arahan pengawal bekalan, iaitu kesalahan bawah Peraturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974, mengisi minyak dalam tong tanpa kebenaran dan pembelian berulang.

“Berdasarkan siasatan dan risikan, kebanyakan stesen itu disyaki bersekongkol dengan individu tertentu bagi menyeludup keluar bahan api ke negara jiran.

“Tindakan ini pengkhianatan terhadap negara kerana bahan api seperti petrol RON95 yang diberikan subsidi oleh kerajaan untuk rakyat negara ini diambil kesempatan pihak tidak bertanggungjawab bagi mengaut keuntungan menerusi penyeludupan.”

Katanya, di kawasan radius 50km dari sempadan terdapat 48 stesen minyak disyaki menjadi tumpuan kumpulan penyeludup mendapatkan bekalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.