
Beliau juga menggesa penstrukturan semula Digital Nasional Bhd (DNB), syarikat milik kerajaan yang pada asalnya ditubuhkan sebagai pemborong 5G nasional, supaya ia bebas daripada industri.
Mohamed, sebelum ini ketua eksekutif Jaring, penyedia internet pertama Malaysia, berkata pengendali rangkaian mudah alih (MNO) sepatutnya dibenarkan mengendalikan perkhidmatan 5G mereka sendiri tanpa campur tangan kerajaan.
Syarikat-syarikat telekomunikasi tidak sepatutnya diundang memegang saham dalam DNB, kata Mohamed.
“Setelah DNB ditubuhkan, MNO kemudian dibawa masuk sebagai pemegang saham – di situ wujudnya konflik kepentingan. DNB harus bebas dan neutral, bukan berkhidmat kepada pengendali.
“DNB tidak sepatutnya ‘diperintah’ oleh pelanggan mereka,” katanya kepada FMT.
DNB, yang dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan, ditubuhkan sebagai pemborong perkhidmatan 5G kepada rangkaian mudah alih di negara ini.
Bantahan oleh syarikat menyebabkan kerajaan mengumumkan pembangunan rangkaian kedua, dengan syarikat-syarikat diundang memegang saham dalam DNB.
Mohamed berkata, kerajaan harus membatalkan pelancaran rangkaian 5G kedua, sebaliknya memberi tumpuan kepada penstrukturan semula DNB untuk memastikan ia tidak terikat kepada pemain industri.
Alternatifnya adalah ‘membubarkan sahaja DNB’, tambahnya.
“Biar syarikat-syarikat kendali rangkaian 5G mereka sendiri dan biarkan ia dipacu sepenuhnya oleh sektor swasta. Dengan cara ini, mereka dapat bersaing dengan lebih berkesan dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada pengguna akhir,” katanya.
Beberapa hari lepas, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah diarah mengenal pasti dan melantik MNO untuk membangunkan rangkaian 5G kedua.
Seorang pemimpin Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bagaimanapun menggesa kerajaan agar menangguhkan rancangan membangunkan rangkaian 5G kedua atas kebimbangan wujudnya konflik kepentingan dalam kalangan MNO dan DNB.
CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL Communications mengesahkan berjaya memenuhi syarat perjanjian langganan saham (SSA), membolehkan mereka memperoleh 70% kepentingan kolektif dalam DNB.
Wan Fayhsal berkata, sesuatu yang ‘mengejutkan’ apabila syarikat telekomunikasi yang memperoleh kepentingan dalam DNB dibenarkan memohon untuk dilantik membangunkan rangkaian 5G kedua.
Memandangkan syarikat-syarikat tersebut secara kolektif mengawal 90% atau lebih pasaran pelanggan rangkaian mudah alih Malaysia, pemohon yang berjaya akan berupaya menyalurkan pelanggan mereka ke rangkaian 5G kedua, katanya.