10 sekolah di Sabah ditutup akibat banjir

10 sekolah di Sabah ditutup akibat banjir

Sepuluh sekolah itu terletak di daerah Penampang, Papar, Sipitang dan Tuaran membabitkan 5,077 pelajar serta 307 guru.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Raisin Saidin berkata, penutupan sekolah itu mengambil kira status banjir yang menjejaskan kawasan sekolah dan laluan masuk ke sekolah dinaiki air. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sepuluh sekolah di empat daerah Sabah ditutup hari ini akibat banjir selepas laluan dan kawasan sekolah dinaiki air sejak petang semalam.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Raisin Saidin berkata 10 sekolah itu terletak di daerah Penampang, Papar, Sipitang dan Tuaran membabitkan 5,077 pelajar serta 307 guru.

Beliau berkata, jumlah paling ramai terjejas adalah di Penampang membabitkan lebih 4,000 pelajar.

Katanya, paling banyak sekolah ditutup di Penampang, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sugut, SK St Theresa Inobong, SK Kibabaig, SK St Joseph, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yue Min dan Sekolah Menengah (SM) St Michael.

Manakala masing-masing sebuah sekolah ditutup di Papar dan Sipitang membabitkan SK Kelatuan serta SJKC Sin Boon di Sindumin.

“Bagi daerah Tuaran pula, dua sekolah terpaksa ditutup hari ini akibat banjir, iaitu SK Kauluan dan SJKC Chung Hwa, Tenghilan,” katanya menurut Harian Metro.

Raisin berkata, penutupan sekolah itu mengambil kira status banjir yang menjejaskan kawasan sekolah dan laluan masuk ke sekolah dinaiki air menyebabkannya tidak dapat dilalui.

Beberapa daerah di Pantai Barat Sabah, termasuk sekitar ibu negeri dilanda banjir sejak petang semalam akibat hujan lebat lebih lima jam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.