
Yang Dipertuanya Azman Ahmad mendakwa tindakan Mohd Azizi Abu Naim dari Bersatu berpaling tadah selepas menang memberi kesan di kalangan pengundi di kerusi terletak bawah Parlimen Gua Musang berkenaan.
Parlimen itu turut diwakili Azizi yang kini menunggu keputusan Speaker Parlimen Johari Abdul sama ada beliau perlu mengosongkannya atau sebaliknya, susulan notis dikemukakan Bersatu pada 20 Jun lalu.
“Akibat tindakan itu, pengundi rasa ragu-ragu…mereka yakin dengan (wakil) PAS berbanding segelintir dari Bersatu yang terbukti ada melompat (Azizi alih sokongan).
“Jadi mereka bimbang berulang di Nenggiri. Bagaimanapun saya tak kata semua wakil rakyat Bersatu kaki lompat…ada ramai yang bagus,” kata Azman kepada FMT.
Bagaimanapun Azman menyerahkan perkara itu kepada pimpinan parti dan tidak akan memboikot jika Bersatu kekal bertanding di kerusi terbabit.
Jumaat lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata Bersatu bersedia meletakkan calon mewakili Perikatan Nasional (PN) di kerusi terbabit yang dirampas daripada Barisan Nasional (BN) pada PRN Ogos lalu.
Azizi yang bertanding di bawah logo PAS ketika itu menewaskan Ab Aziz Yusoff dari BN dengan majoriti 810 undi.
DUN Kelantan mengumumkan kekosongan luar jangka kerusi itu berkuat kuasa 19 Jun lalu selepas Bersatu menyerahkan notis pelucutan keahlian Azizi.
Wakil rakyat penggal pertama itu antara tujuh Ahli Parlimen dan Adun Bersatu mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
Semalam, Harakah melaporkan Ketua Pemuda PAS Gua Musang Mohd Habidin Hanipa berkata kerusi DUN Nenggiri perlu diberi kepada PAS untuk mengelakkan pisang berbuah dua kali.
Selain itu, menurutnya 90% daripada jentera pilihan raya di kerusi terbabit adalah dari PAS.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 3 Ogos sebagai penamaan calon manakala pengundian 17 Ogos.