Pelajar 10A SPM dijamin tempat di matrikulasi, kata PM

Pelajar 10A SPM dijamin tempat di matrikulasi, kata PM

Anwar Ibrahim berkata perkara itu diputuskan Jemaah Menteri Jumaat lalu bagi memastikan semua pelajar cemerlang tanpa mengira kaum mendapat pendidikan lebih tinggi.

Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Majlis Kemuncak Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
KUALA LUMPUR:
Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas akan diberi peluang memasuki matrikulasi, kata Anwar Ibrahim.

Perdana menteri berkata, perkara itu diputuskan Jemaah Menteri Jumaat lalu bagi memastikan semua pelajar cemerlang tanpa mengira kaum melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Anwar menegaskan, kerajaan akan menjamin hak pendidikan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia tidak akan mengganggu kuota pelajar Bumiputera sedia ada.

“Apabila anak-anak lulus SPM (keputusan cemerlang) yang kemudian berdepan keterbatasan ruang pendidikan maka timbul masalah. Jemaah Menteri dengar keluhan rakyat dan melihat dan mengkaji cadangan.

“Jadi kerajaan memutuskan semua lepasan SPM yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas tanpa mengira kaum Melayu, Cina dan India serta lain-lain harus diberikan jaminan tempat oleh kerajaan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Kemuncak dan Penutup Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Hadir sama Menteri Sumber Manusia Steven Sim, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Anwar berkata, perkara diputuskan Jemaah Menteri itu adalah keputusan berani dan perincian mengenainya akan dimaklumkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek esok.

“Kita jamin semua yang 10A dari semua kaum itu diberi kesempatan (tempat) di matrikulasi dan akan terus pertahankan dasar kuota Bumiputera sedia ada untuk menjamin anak-anak atau miskin bandar tidak ketinggalan,” katanya.

Dalam ucapannya, Anwar turut berbangga sambutan anak muda terhadap program NTW yang amat memberangsangkan sekali gus menunjukkan mereka wajar diberi ruang dalam pelbagai sektor.

Katanya, pendekatan itu selari ekonomi negara untuk memacu pertumbuhan lebih tinggi dengan menarik peluang pelaburan.

“Ini maknanya kalau kerajaan beri peluang, anak-anak muda tidak mempersiakan. Usaha dibuat Kementerian Sumber Manusia dan HRD Corp ini memberi jaringan lebih luas khususnya membabitkan kawasan pedalaman tanpa mengira kaum,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.