Rakyat bijak nilai retorik pembangkang, kata Zambry

Rakyat bijak nilai retorik pembangkang, kata Zambry

Pengarah pilihan raya BN PRK Sungai Bakap berkata perkara sama juga dilakukan pembangkang pada beberapa PRK sebelum ini.

Zambry Abdul Kadir pada perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Dungun, Terengganu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Zambry Abdul Kadir yakin rakyat semakin bijak menilai isu dibangkitkan pembangkang yang bersifat retorik sekadar untuk meraih sokongan ketika berkempen.

Pengarah pilihan raya Barisan Nasional (BN) bagi PRK Sungai Bakap berkata, perkara sama juga dilakukan pembangkang ketika PRK DUN Kuala Kubu Bharu, Selangor dan PRK Parlimen Pulai, Johor sebelum ini.

“Tetapi rakyat dapat membezakan antara hanya ucapan kempen dan retorik…maka tentunya rakyat dapat fikir bahawa yang paling mustahak adalah siapa yang dapat beri khidmat terbaik kepada mereka,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Dungun, Terengganu.

Mengulas naratif buruk terhadap kerajaan perpaduan dimainkan pembangkang di PRK Sungai Bakap, Zambry berkata kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan BN sepanjang kempen yang kini memasuki minggu kedua sangat baik dan memberi indikasi positif untuk dinilai rakyat.

PRK DUN Sungai Bakap 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH Joohari Ariffin dan Timbalan Ketua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

Sungai Bakap adalah satu daripada tiga DUN bawah Parlimen Nibong Tebal mempunyai 39,279 pemilih terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.