Terbukti tatacara pindaan Perlembagaan Bersatu teratur, kata Hamzah

Terbukti tatacara pindaan Perlembagaan Bersatu teratur, kata Hamzah

Mei lalu Adun Selat Klang mendakwa Bersatu melanggar perlembagaannya kerana menerima keahlian dua anggota MPT yang dikatakan bukan kaum pribumi.

hamzah
Hamzah Zainudin berkata perkembangan positif itu akan menjadi pemangkin kejayaan Bersatu dan tentunya mempunyai hubung kait dengan urusan pentadbiran parti.
PETALING JAYA:
Tuduhan Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari konon berlaku kesilapan dalam proses serta tatacara pindaan perlembagaan dan pendaftaran keahlian Bersatu tidak benar.

Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin, sebaliknya menegaskan proses itu dibuat dengan teliti.

“Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) sendiri bahkan mengesahkan, menerusi sepucuk surat bertarikh 19 Jun 2024 bahawa proses dan tatacara permohonan pindaan perlembagaan dikemukakan Bersatu dilaksanakan dengan teratur mengikut lunas perlembagaan parti,” katanya dalam kenyataan.

Hamzah berkata, ia dapat dibuktikan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang menolak injunksi sementara difailkan Mohd Azizi Abu Naim berkaitan kerusi DUN Nenggiri.

“Perkembangan positif ini akan menjadi pemangkin kejayaan Bersatu dan tentunya mempunyai hubung kait dengan urusan pentadbiran parti secara teratur dan cermat,” katanya.

Mei lalu Rashid mendakwa, Bersatu melanggar perlembagaannya kerana menerima keahlian dua anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) iaitu Adun Kuang Mohd Rafiq Abdullah (Selangor) dan Adun Lepar Mohd Yazid Mohd Yunus (Pahang) yang dikatakan bukan kaum pribumi.

Dakwaan itu dibuat Rashid ketika menjawab surat arahan Bersatu, berkaitan sokongan yang diberikan kepada kerajaan perpaduan.

Rashid dan Azizi antara wakil rakyat Bersatu yang berpaling tadah.

Dalam permohonannya, Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang mahu mahkamah mengisytiharkan notis dikeluarkan DUN Kelantan menasihatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan itu sebagai terbatal dan tidak sah kerana beliau tidak diberikan hak untuk mempertahankan diri sebelum kerusi Nenggiri dikosongkan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain, berkata mahkamah tidak boleh menghalang SPR mengadakan PRK kerana ia menjalankan tugas berperlembagaannya.

Hari ini SPR menetapkan PRK DUN Nenggiri akan diadakan pada 17 Ogos.

Wakil rakyat Bersatu lain yang berpaling tadah termasuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal (Bukit Gantang), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.