Mahathir beri kuasa kepada DAP, tetapi ‘sekat’ Guan Eng, dakwa penulis

Mahathir beri kuasa kepada DAP, tetapi ‘sekat’ Guan Eng, dakwa penulis

Romen Bose berkata, bekas PM itu melantik Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan, tetapi menyekat kawalannya ke atas GLC.

mahathir n guan eng
Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun menjadi menteri kewangan, Lim Guan Eng tidak boleh membentantangkan sesuatu kepada Jemaah Menteri tanpa pengawasannya.
PETALING JAYA:
Berikutan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada 2018, Dr Mahathir Mohamad memberikan portfolio kewangan kepada Lim Guan Eng ‘untuk memuaskan hati DAP’, tetapi melucutkan kawalan kementerian itu ke atas syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mengekalkan hegemoni Melayu, menurut sebuah buku.

Penulis ‘Shattered Hopes’ Romen Bose berkata, Mahathir ‘bergelut dengan parti-parti seperti DAP dan dengan permintaan tertentu, seperti untuk menjadikan Lim Kit Siang speaker Parlimen’.

“Bagaimanapun, mereka (pegawai yang rapat dengan Mahathir) mendakwa, Mahathir berjaya ‘membeli’ kesetiaan parti itu dengan memberikan jawatan penting dalam Jemaah Menteri dan melantik Guan Eng sebagai menteri kewangan.”

Kata Bose, Mahathir sedar beliau perlu bekerjasama dengan DAP, tetapi itu tidak bermakna beliau akan memberikan ‘kuasa besar’ kepada parti diterajui kaum Cina itu.

“Pembantu-pembantu (Mahathir) berkata, kekuatan kepercayaan tokoh veteran itu terhadap hegemoni Melayu tidak akan membenarkan beliau menyerahkan sebarang kuasa sebenar kepada bukan Melayu,” katanya.

“Jadi, walaupun Guan Eng diberi portfolio kewangan, Mahathir melucutkan kawalan kementerian itu (ke atas) sektor GLC yang berkuasa dan menguntungkan, yang kemudiannya diberikan kepada (menteri hal ehwal ekonomi) Azmin Ali.”

Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) kemudiannya diletakkan bawah Jabatan Perdana Menteri, dengan Mahathir menjadikan dirinya pengerusi Khazanah. Semua GLC lain diletakkan bawah bidang kuasa kementerian Azmin, menurut Bose.

Akibatnya, kawalan Guan Eng atas kementeriannya sendiri terhad, seperti yang ‘diakui’ Mahathir dalam temu bual dengan Malaysiakini, tambahnya.

Buku itu memetik Mahathir berkata dalam temu bual itu: “Saya rasa anda hina saya jika anda fikir DAP boleh kawal saya. Kawalan dalam tangan saya.”

“Lim tidak boleh membentangkan sesuatu kepada Jemaah Menteri tanpa saya melihatnya sesuai atau tidak,” katanya.

Apa tujuan sebenar MPK?

Bose turut mempersoalkan penubuhan Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) sejurus selepas PH memegang kuasa pada 2018.

Memetik laporan berita, Bose menyatakan, MPK bukanlah badan berkanun mahupun badan siasatan bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950. MPK juga bukan jawatankuasa pilihan Parlimen, tambahnya.

Justeru, Bose bertanya sama ada MPK sebuah badan haram, dan apa tujuan sebenarnya?

“Tiada laporan mengenai apa yang telah dilakukan atau dicapai oleh MPK (dan) tiada cara untuk mengetahui sejauh mana mereka berjaya membantu melaksanakan janji ekonomi dan manifesto PH1.0,” katanya.

MPK dianggotai bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz, bekas CEO Petronas Hassan Marican, tokoh perniagaan Robert Kuok dan pakar ekonomi Jomo Kwame Sundram.

‘Shattered Hopes’ menampilkan perspektif orang dalam mengenai akibat PRU 2018, setelah PH menamatkan cengkaman kuasa enam dekad Barisan Nasional (BN).

Buku itu akan dijual mulai 30 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.