Kit Olimpik kontroversi akan ditambah baik, kata ketua MOM

Kit Olimpik kontroversi akan ditambah baik, kata ketua MOM

Norza Zakaria berkata pakaian yang akan direka bentuk semula dijangka terbaik mencerminkan kedudukan dan harapan negara.

MOM komited untuk memastikan setiap anggota kontinjen Olimpik negara berpakaian dengan cara yang membanggakan negara dan rakyat, kata presidennya, Norza Zakaria. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memberi jaminan bahawa kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris akan dilengkapi dengan pakaian sukan yang ‘terbaik mencerminkan kedudukan negara dan harapan semua rakyat Malaysia’.

Dalam kenyataan kepada FMT, Presiden MOM Norza Zakaria mengakui pakaian rasmi atlet untuk temasya sukan antarabangsa itu, yang dilancarkan pada Ahad, tidak mendapat sambutan baik orang ramai.

Katanya, beliau telah mengarahkan MOM untuk bekerjasama dengan Yonex, penaja pasukan kebangsaan, untuk membuat penambahbaikan pada pakaian kontinjen negara berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pihak berkepentingan dan orang ramai.

Khususnya, kata Norza, beliau meminta logo MOM diletakkan kembali pada pakaian itu, serta Jalur Gemilang dikembalikan kepada warna asalnya.

“Kit semasa memaparkan versi emas Jalur Gemilang, yang dianggap pasukan reka bentuk paling sesuai melambangkan aspirasi kontinjen untuk membawa pulang pingat emas Olimpik pertama Malaysia,” tambahnya.

Beliau berkata, sebagai pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang hanya melapor kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), MOM sentiasa terbuka menerima cadangan.

Berikutan bermacam-macam reaksi yang timbul sejak beberapa hari lepas, beliau berkata, MOM dan Yonex akan berusaha menambah baik reka bentuk kit tersebut agar memenuhi jangkaan semua pihak berkepentingan dan penyokong.

“Kami komited untuk memastikan setiap anggota kontinjen (negara) berpakaian dengan cara yang membanggakan negara dan rakyat,” tambahnya.

Pelancaran pakaian rasmi kontinjen Olimpik negara baru-baru ini disambut dengan pelbagai reaksi, malah ada yang menggelarnya ‘hodoh’ dan ‘tidak berinspirasi’

Semalam, penganjur pelancaran itu, MY Creative Moment, memohon maaf kepada MOM, Kementerian Belia dan Sukan, serta peminat sukan negara atas kejanggalan yang berlaku pada acara itu.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, pakaian yang dilancarkan sempena Hari Olimpik 2024 itu bukan untuk dipakai kontinjen negara pada majlis perasmian Sukan Olimpik di Paris nanti.

Mengesahkan perkara ini, Norza berkata, pakaian yang dipamerkan itu adalah untuk kegunaan harian atlet dan pegawai yang mewakili negara pada temasya yang akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.