
Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, sepasukan anggotanya dari Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis menerima maklumat kegiatan penyeludupan dadah di pesisir pantai Kampung Pulau, Simpang Empat kira-kira 7.30 pagi.
Beliau berkata, anggotanya ternampak sebuah sampan enjin sangkut bergalah dengan dua lelaki atas sampan yang baru selesai meletakkan dua bungkusan berwarna merah jambu di kawasan itu.
“Anggota kastam menunggu dan memeriksa sekitar kawasan itu untuk melihat kelibat orang yang akan mengambil atau menuntut bungkusan berkenaan, namun tiada sesiapa datang.
“Kita nampak sebuah lagi bot dipercayai ‘tonto’ mengawasi kawasan itu dari jauh sambil memerhatikan gerak-geri anggota kita yang berada di kawasan itu,” katanya menurut Harian Metro.
Ismail berkata, pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan itu menemui 80 ketulan mampat disyaki ganja seberat 84.67kg bernilai RM262,477 yang boleh digunakan lebih 420,000 penagih dadah dalam negara ini.
Menurutnya, sindiket itu dipercayai membawa bekalan ganja dari negara jiran melalui jalan laut dan meletakkannya di pesisir pantai sebelum diambil pihak ketiga bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
“Kita percaya ganja ini akan cuba dipasarkan di negeri selain Perlis dan menjadikan negeri ini transit untuk pengedaran ganja berkenaan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.