Gagal isytihar RM65,160, wanita ditahan kastam

Gagal isytihar RM65,160, wanita ditahan kastam

Suspek memberi alasan tidak tahu sepatutnya mengisytiharkan sebarang mata wang melebihi USD10,000 ketika memasuki Malaysia.

Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim (dua dari kanan) menunjukkan wang tunai RM65,160 yang dirampas daripada seorang pengusaha restoran di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Padang Besar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pengusaha restoran ditahan kastam kerana gagal mengisytiharkan wang tunai RM65,160 dalam beg galasnya ketika masuk ke Malaysia Isnin lalu.

Wanita 47 tahun itu baru tiba di Laluan Import, Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) Padang Besar selepas bercuti di Hatyai, Thailand pada 2.40 petang Isnin lalu.

Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, wanita tempatan itu baru memasuki negara menaiki van pelancong.

“Apabila beg galasnya disaring pada mesin pengimbas bagasi, anggota bertugas ternampak objek mencurigakan dalam beg suspek dan apabila diperiksa, terdapat pelbagai mata wang Malaysia disyaki melebihi USD10,000 (RM47,173) yang sepatutnya diikrar menerusi borang kastam ketika memasuki negara ini.

“Siasatan awal kita mendapati wanita berkenaan pengusaha restoran di Ipoh dan dia sering keluar masuk ke Thailand atas tujuan perniagaan serta bercuti,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, wanita itu mengakui sudah beberapa kali keluar masuk negara ini membawa mata wang Malaysia melebihi had tanpa mengisytiharkan kepada kastam.

Menurutnya, suspek memberi alasan tidak tahu sepatutnya mengisytiharkan sebarang mata wang melebihi USD10,000 ketika memasuki Malaysia.

Katanya, kastam merampas wang itu dan wanita terbabit dibebaskan dengan jaminan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 29B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.