2 lelaki Colombia didakwa pecah rumah, curi barang RM7 juta

2 lelaki Colombia didakwa pecah rumah, curi barang RM7 juta

Kedua-dua tertuduh didakwa memecah masuk rumah seorang ahli perniagaan di Bukit Damansara pada 31 Mei lalu.

colombian
Yeyson Andres Rocha Garzon dan Julian David Serna Pena mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan memecah masuk rumah dan mencuri barangan bernilai RM7 juta 31 Mei lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dua lelaki warga Colombia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memecah masuk sebuah rumah seorang ahli perniagaan dan mencuri barang bernilai RM7 juta di kediaman itu, bulan lepas.

Yeyson Andres Rocha Garzon, 39, dan Julian David Serna Pena, 22, didakwa memecah masuk rumah dan mencuri barang milik Indra Izwaan Mohd Yusof, 45, bernilai RM7 juta di kediaman mangsa di Bukit Damansara, pada 10 malam, 31 Mei lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun serta denda dan jika kesalahan mencuri, maka tempoh penjara itu boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun dan bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya, boleh dikenakan denda atau sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd Rauf tidak menawarkan jaminan memandangkan kedua-dua tertuduh tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Peguam Wan Azmir Wan Majid yang mewakili kedua-dua tertuduh berkata pihaknya akan menghantar representasi terhadap pertuduhan dihadapi anak guamnya.

Hakim Azrol Abdullah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 5 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Susulan kes berkenaan, polis menahan lapan anggota geng pecah rumah didalangi warga Amerika Latin serta merampas pelbagai barangan curi bernilai lebih RM4 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata enam lelaki warga asing dan dua wanita tempatan berusia 20 hingga 40 tahun itu ditahan di sekitar ibu negara dan Bangkok, Thailand.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.