
Jurucakap Jabatan Bomba Melaka berkata, tiada mangsa yang cedera atau terperangkap dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 petang itu.
“Sejurus menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian itu, tujuh anggota daripada Balai Bomba Ayer Keroh bergegas ke lokasi dan tiba kira-kira empat minit kemudian.
“Kenderaan-kenderaan itu kemudiannya dialihkan ke tempat selamat dan operasi tamat kira-kira 5.30 petang,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Terdahulu, tular satu video di WhatsApp menunjukkan beberapa kenderaan termasuk motosikal terperangkap di dalam arus banjir dianggarkan sedalam kira-kira paras peha.
Sesetengah kawasan di Melaka dilanda hujan lebat kira-kira pukul 4 petang tadi dan reda hampir tiga jam kemudian.
Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Kamarulsyah Muslim berkata sebuah kereta mewah mengalami kerosakan, manakala seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan selepas kenderaan tersebut dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Sungai Putat menghala Batu Berendam.
“Seramai 11 anggota dan pegawai APM membantu mengeluarkan mangsa dan melakukan kerja pembersihan di lokasi berkenaan, sebelum lalu lintas kembali pulih,” katanya dalam satu kenyataan.
Kamarulsyah berkata sebuah pusat pemindahan sementara turut dibuka di Balai Raya Bukit Balai, sebagai persiapan menerima mangsa banjir dari Kampung Bukit Balai dan Kampung Bukit Tambun dan proses pemindahan dan pendaftaran mangsa masih dijalankan.