Remaja bakar kucing kena bon berkelakuan baik setahun

Remaja bakar kucing kena bon berkelakuan baik setahun

Tertuduh berusia 13 tahun itu turut dikenakan sekatan keluar rumah bermula 10 malam hingga 6 pagi dalam tempoh sama.

Tangkap layar video tular menunjukkan dua daripada tiga lelaki simbah bahan bakar sebelum menyalakan api ke atas anak kucing, di parkir sebuah flat di Kajang.
KAJANG:
Remaja lelaki berusia 13 tahun yang mengaku bersalah membakar seekor kucing di kawasan parkir sebuah pangsapuri Taman Sri Kenari di sini pada April lalu, diperintahkan bon berkelakuan baik selama setahun oleh Mahkamah Majistret.

Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz memutuskan demikian selepas meneliti laporan akhlak remaja itu yang dikemukakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mahkamah turut memerintahkan remaja itu menjalani bengkel interaktif dianjurkan JKM dan sekatan keluar rumah bermula 10 malam hingga 6 pagi selama setahun.

Peguam Lee Teong Hooi yang mewakili tertuduh berkata semasa rayuan, anak guamnya yang menangis mengakui kesalahan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

“Dia memohon maaf kepada mahkamah dan meminta untuk didaftarkan ke sekolah dan bakal memulakan sesi pembelajaran tahun depan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim.

Remaja itu bersama dua lagi yang masih bebas didakwa secara kejam menyebabkan kesakitan kepada seekor kucing dengan membakar haiwan itu pada 1.08 petang, 22 April.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Perenggan 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Sebelum ini, tular rakaman video menunjukkan tiga lelaki berada di tapak parkir motosikal flat berkenaan dan dua daripada mereka kemudian menyimbah dipercayai bahan bakar ke atas anak kucing dianggarkan berusia enam minggu sebelum seorang daripada mereka menyalakan api dan membakar haiwan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.