Putrajaya tambah baik aduan pekerja migran

Putrajaya tambah baik aduan pekerja migran

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata antaranya menangani aspek kekangan bahasa pekerja asing dan kefahaman undang-undang negara.

Steven Sim berkata Malaysia akan terus meningkatkan kedudukannya dalam Laporan Tahunan Pemerdagangan Manusia (TIP) Jabatan Negara Amerika Syarikat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Sumber Manusia sedang merangka penambahbaikan terhadap protokol penerimaan aduan pekerja bagi memperbaiki isu buruh.

Menterinya, Steven Sim berkata, penambahbaikan itu turut melibatkan bahagian khusus untuk pekerja asing yang menurutnya mempunyai kekangan dari aspek bahasa dan kefahaman tentang undang-undang negara.

Steven Sim.

“Dari pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK) kita tengah rangka pembaharuan dari segi aduan pekerja secara keseluruhannya, tak kira Malaysia dan pekerja lain, khususnya kita sedang rangka SOP atau protokol khusus pekerja migran.

“Kadangkala keadaan seorang pekerja migran tak sama dengan pekerja tempatan, bila dia buat laporan mungkin dari segi bahasa atau kefahaman tentang undang-undang Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas Program Impak Inklusi Neurodiversiti.

Beliau berkata demikian mengulas usaha kerajaan menambahbaik kedudukan Malaysia dalam Laporan Tahunan Pemerdagangan Manusia (TIP) Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Malaysia naik satu tahap berbanding tahun lalu, daripada Tahap 2 Pemerhatian ke Tahap 2.

Walaupun terdapat penambahbaikan dari segi kedudukan tersebut, Kesuma berhasrat untuk meningkatkan lagi kedudukan Malaysia ke tahap yang lebih baik.

“Ada penambahbaikan, sudah tentu hasrat kita tingkatkan lagi, bukan sahaja kita nak memenuhi keperluan laporan. Ini komitmen Malaysia,” katanya.

Laporan TIP ialah penilaian tahunan yang menilai trend pemerdagangan global, memfokuskan usaha kerajaan dalam pendakwaan, perlindungan dan pencegahan merangkumi empat kategori iaitu Tahap 1, Tahap 2, Tahap 2 Pemerhatian, dan Tahap 3.

Malaysia berada di Tahap 3 pada 2021 dan 2022. Penurunan tahap membawa risiko terhadap eksport negara berpotensi disekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.