
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Bukit Aman, Siti Kamsiah Hassan, berkata polis sedang bekerjasama dengan Pejabat Peguam Negara bagi memperkasakan undang-undang berkaitan aktiviti di ruang siber.
Inisiatif berkenan juga melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, yang mana katanya turut membabitkan pengendali media sosial memadam kandungan tidak wajar daripada platform mereka.
“Beberapa agensi atau entiti telah mewujudkan platform membenarkan individu melapor kandungan sedemikian secara langsung. Kerjasama ini termasuk melapor, memadam, dan menurunkan kandungan lucah,” katanya kepada FMT.
Siti Kamsiah berkata, polis juga menyediakan sokongan kepada mangsa yang foto intim mereka dibocor dan dikongsikan dalam talian, termasuk sokongan psikologi dan emosi menerusi sesi kaunseling.
“Siasatan dijalankan secara berhati-hati. Dalam kes melibatkan eksploitasi seksual, kami memastikan kerahsiaan ketat dan tidak mendedahkan identiti mangsa.”
Sejauh mana ‘sisi gelap’?
FMT mendapati lebih 50 akaun dalam X (dulu dikenali Twitter) terbabit dalam menyedia perkhidmatan seks dan kandungan lucah.
Satu daripada akaun itu yang dimiliki ‘Lea’, 23, menyediakan perkhidmatan seks sejak Oktober tahun lalu, mengenakan RM400 bagi sesi dua jam, dan RM1,000 sepanjang malam.
Pelajar universiti dari Shah Alam itu juga menjual imej bogel dan video seks dirinya pada harga RM50, menawarkan ‘akses berpanjangan’ kepada pelanggan.
Katanya kepada FMT, ‘pelanggan’ terdiri orang muda dan tua, dan ada yang sudah berkahwin sambil menambah dia terjerumus dalam perniagaan itu atas alasan kewangan.
Seorang lagi pengguna X, @real*******bat, mempromosikan koleksi imej tidak senonoh yang bocor atau dicuri selain video seks, menggunakan akaun Telegram dikendalikan ‘Pak Aji’.
Pelanggan diarah membuat pembayaran di atas ‘Abdul Ghani’ menerusi DuitNow atau Touch ‘n Go eWallet.
Siasatan FMT mendapati, saluran berkenaan mengandungi ribuan gambar lucah dan video, mempunyai ribuan pelanggan.
Pada Februari lalu, negara dikejutkan dengan lelaki dikenali ‘Hot Daddy’ yang dituduh memasarkan video dirinya dalam aktiviti seksual bersama beberapa wanita di media sosial.
Awal minggu ini, wanita hamil enam bulan dikenakan penjara dua bulan oleh Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi kerana terlibat persundalan menerusi Telegram, di bawah nama ‘Miza Ozawa’.