Maut jatuh pangsapuri ketika curi kabel

Maut jatuh pangsapuri ketika curi kabel

Suspek berusia 29 tahun gagal melompat ke aras lain melalui balkoni lalu tergelincir.

Ketua Polis Kajang Naazron Abdul Yusof, berkata suspek cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran pengawal keselamatan.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki maut jatuh pangsapuri disyaki gagal melarikan diri ketika mencuri kabel, dalam kejadian di Kajang Utama, semalam.

Ketua Polis Kajang Naazron Abdul Yusof, berkata suspek berusia 29 tahun terjatuh ketika menyedari kehadiran pengawal keselamatan dengan bertindak melompat ke aras lain melalui balkoni, namun tergelincir lalu terjatuh ke tingkat empat.

Katanya, suspek disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Hospital Kajang, dalam kejadian pada 8 pagi itu.

“Semasa kejadian kedua-dua suspek disyaki telah menyedari kehadiran pengawal keselamatan lalu bertindak menyembunyikan diri namun gagal.

“Apabila salah seorang suspek dapat ditahan oleh pengawal itu, seorang lagi suspek cuba melarikan diri dengan melompat ke aras lain melalui balkoni, namun tergelincir,” katanya dalam kenyataan.

Naazron berkata, suspek ditahan berusia 31 tahun itu ditangkap bersama enam gelung wayar tembaga selain beberapa peralatan memotong wayar kabel turut dirampas.

“Semakan ke atas suspek ditangkap mendapati mempunyai lapan rekod jenayah lampau serta positif methamphetamine. Suspek maut turut dikesan mempunyai 10 rekod jenayah lampau,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan, manakala suspek maut terjatuh diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.