
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, beliau difahamkan perkara itu diselesaikan di peringkat laporan polis melalui perjumpaan diatur pejabat pendidikan daerah (PPD).
“…pihak sekolah, termasuk keluarga mangsa dan pelaku mencapai kesepakatan bersama,” katanya selepas pelancaran Jurnal Bacaan Propulih dan Modul Key To Excellence STPM 2024 di sini.
Sebelum ini, tular di media sosial satu rakaman video satu minit 21 saat menunjukkan seorang pelajar perempuan 13 tahun dibuli dua pelajar perempuan 15 tahun dari sekolah sama.
Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata, kejadian pada 14 Jun lalu di sebuah sekolah menengah di Kerian itu didakwa berpunca daripada sikap cemburu seorang suspek terhadap mangsa yang dikatakan rapat dengan teman lelakinya berusia 15 tahun dari sekolah sama.
Khairudin berkata, jawatankuasa disiplin sekolah terbabit dalam mesyuarat Selasa lalu sebulat suara mengambil tindakan sewajarnya kepada kedua-dua pelajar berkenaan.
“Mereka telah menghantar laporan kepada PPD mengenai tindakan yang telah diambil seperti termaktub dalam pekeliling dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM).
“Cuma kita tak boleh dedahkan secara terperinci apa tindakan diambil, tetapi tindakan perlu telah diambil,” katanya sambil menegaskan kerajaan negeri memandang serius isu buli tanpa tolak ansur bagi memberi pengajaran supaya tidak berulang kelak.