
Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ini kerana akta antilompat diluluskan Dewan Rakyat tidak mengambil kira perkara itu sebaliknya status keahlian.
Dakwa Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, seseorang wakil rakyat perlu mengosongkan kerusi apabila tidak lagi menjadi ahli atau menyokong lawan dengan membelakangi parti.
“Tidak ambil kira logo digunakan dalam pilihan raya, paling penting keahlian.
“Kalau keahliannya terhenti maka kerusinya kosong dan terbuka dipertandingkan,” katanya kepada FMT sambil merujuk keputusan DUN Pulau Pinang tahun lalu yang mengisytiharkan kekosongan empat kerusi disandang empat Adun Bersatu bertanding atas tiket PKR pada PRU14.
Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Abdullah pula meminta semua pihak menunggu proses perundangan selepas Azizi memfailkan saman bagi mencabar keguguran keahlian Bersatu dan tindakan mengosongkan kerusi Nenggiri pada 19 Jun lalu.
“Kes ini sudah dibawa ke Mahkamah… biar proses undang undang berjalan,” kata naib presiden PAS itu.
Semalam, Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang mendakwa akta antilompat tidak terpakai terhadapnya memandangkan beliau bertanding menggunakan logo PAS dengan watikah calon ditandatangani setiausaha agung parti itu walaupun menjadi ahli Bersatu.
Azizi antara Ahli Parlimen yang keahliannya terhenti selain Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli) dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).
Azizi, Zahari, Syed Hussin, Zulkafperi dan Iskandar terlucut keahlian kerana gagal menjawab surat arahan bertulis MPT Bersatu untuk menzahirkan ikrar taat setia selain terus menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Keahlian Suhaili pula terhenti kerana memfailkan saman ke atas Bersatu pada 19 Dis tahun lalu.
Bersatu telah menghantar notis pengosongan kerusi kepada pejabat speaker Parlimen pada minggu lalu.