Keputusan lawatan rasmi PM ke Rusia perlu dibuat hati-hati, kata menteri

Keputusan lawatan rasmi PM ke Rusia perlu dibuat hati-hati, kata menteri

Menteri Luar Mohamad Hasan berkata Malaysia tidak mahu dilihat condong menyokong mana-mana negara di sebalik mempunyai hubungan baik dengan Rusia.

Mohamad Hasan berkata geopolitik yang tidak menentu ketika ini memerlukan Putrajaya lebih berhati-hati kerana mahu menjaga hubungan dengan semua negara. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Malaysia mempunyai hubungan baik dengan Rusia namun lawatan rasmi Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke negara itu perlu dirancang sebaiknya kerana enggan terjerumus politik dunia.

Menteri Luar Mohamad Hasan berkata situasi geopolitik yang tidak menentu ketika ini memerlukan Putrajaya lebih berhati-hati kerana mahu menjaga hubungan dengan semua negara.

“Walaupun mempunyai hubungan baik dengan Rusia, tetapi dalam keadaan geopolitik yang begitu tak tentu arah sekarang ini, kehadiran lawatan perdana menteri perlu dirancang dengan baik.

“Banyak jemputan kita terima, tetapi tidak boleh dapat terima jemputan, kita pergi,” katanya menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad (PN-Machang) di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Mohamad berkata Malaysia ingin memposisikan kedudukannya sebagai ‘middle state’ atau tidak condong ke mana-mana bagi menjaga kepentingan diplomatik perdagangan.

“Ini asas luar negara kita bukan sahaja diplomatik biasa, tapi diplomatik perdagangan.

“Kita mahu bersahabat dengan semua dan tidak mahu dilihat condong sangat kepada kanan dan kiri…diplomatik perdagangan jadi keutamaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.