
Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Isa berkata, penganjur himpunan ‘Rakyat Lawan Anwar’ itu akan melanggar undang-undang jika ia diteruskan kerana gagal mendapat kebenaran pemilik tanah, Perbadanan Putrajaya, seperti yang dikehendaki bawah Akta Perhimpunan Aman (Akta 736).
“Ya, (mereka hantar notis kepada polis) pada 14 Jun, akur syarat lima hari sebelum perhimpunan (dianjurkan).
“Satu (syarat) penting adalah mestilah dapat kebenaran tuan tanah,” katanya.
Beliau berkata, jika Demi Negara meneruskan perhimpunan itu, polis akan membuka siasatan bawah Seksyen 9(5) Akta 736 kerana gagal memberikan notis.
Perhimpunan itu dijadualkan diadakan di hadapan Seri Perdana, kediaman rasmi perdana menteri di Putrajaya.
Pada 22 Jun, polis memanggil tiga pempengaruh daripada gerakan Demi Negara untuk merakam kenyataan mereka, iaitu Aidil Yunus, dikenali di media sosial sebagai YB Viral, Tunku Intan Abdul Hamid (Dayangku Intan) dan Siti Zulaikha Olivia (Mak Iban Olivia).
Rusdi hari ini berkata, polis bertindak susulan 85 laporan yang diterima menerusi siaran media sosial oleh gerakan itu.
“Kita buka kertas siasatan (bawah) Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.
Seksyen 505(b) melarang penyebaran kenyataan atau khabar angin bertujuan menimbulkan ketakutan atau kegentaran awam yang berpotensi mendorong tindakan jenayah terhadap negara atau ketenteraman awam, manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia menyebut tentang penyalahgunaan kemudahan rangkaian.
Demi Negara sebelum ini menuduh polis digunakan sebagai alat untuk menakut-nakutkan pengkritik Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan.