Foodpanda semak semula sistem baharu selepas protes penghantar

Foodpanda semak semula sistem baharu selepas protes penghantar

Penghantar berkata bayaran diterima menerusi sistem baharu tidak adil selepas jarak penghantaran diperluas.

food panda
Sharkar Shamsudin (dua dari kiri) menyerahkan memorandum kepada wakil Foodpanda (baju merah) di pejabat syarikat itu di Jalan Chan Sow Lin.
KUALA LUMPUR:
Foodpanda bersetuju menyemak semula sistem baharu diperkenal kepada penghantarnya susulan satu protes yang diadakan hari ini.

Pengerusi Sekretariat Forum GiG Ekonomi Malaysia Sharkar Shamsudin berkata sistem baharu menggunakan Google Maps untuk navigasi dan laluan penghantaran, meluaskan lagi jarak penghantaran.

Sebelum ini, penghantar hanya membuat penghantaran ke kawasan tertentu seperti Kelana Jaya, tetapi kini kawasan diperluaskan termasuk Subang Jaya.

“Mereka (Foodpanda) berjanji untuk melihat semula sistem baharu yang dilaksanakan ini dan akan memberi maklum balas dalam tempoh sebulan,” kata Sharkar selepas bertemu dengan wakil Foodpanda di pejabat syarikat itu.

Sharkar berkata rungutan utama penghantar adalah skim pembayaran yang dirasakan sebagai tidak adil di bawah sistem baharu itu.

“Kini jarang penghantaran mereka diperluaskan tetapi bayaran tidak berbaloi,” katanya.

Sharkar berkata Foodpanda akan mendapatkan maklum balas daripada penghantar sebelum membuat keputusan muktamad.

Terdahulu, kira-kira 60 penghantar berkumpul di pejabat Foodpanda di Jalan Chan Sow Lin untuk menghantar memorandum mengenai permasalahan mereka.

Antara isu lain yang dibangkitkan adalah pembatalan pesanan secara paksa dan penalti tidak adil apabila pesanan dibatalkan selepas penghantaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.