Anwar ada 3 tahun bukti beliau reformis, kata Thomas Fann

Anwar ada 3 tahun bukti beliau reformis, kata Thomas Fann

Bekas pengerusi Bersih itu berkata, jika Anwar Ibrahim gagal mengotakan janji reformasi dilaungkan selama ini, rakyat mungkin hilang harapan dan kepercayaan terhadapnya.

thomas fann wan saiful
Bekas pengerusi Bersih, Thomas Fann dalam program Bersama Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan di YouTube malam ini.
PETALING JAYA:
Anwar Ibrahim perlu memanfaatkan baki tiga setengah tahun pentadbirannya untuk membuktikan kepada rakyat perjuangan reformasi institusi dilaungkannya selama ini, kata bekas pengerusi Bersih, Thomas Fann.

Fann berkata, jika pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu gagal mengotakan janji reformasi dilaungkan sejak 1998, rakyat mungkin hilang harapan dan kepercayaan terhadap kepimpinan serta partinya.

“Kalau kita dengar nama anwar, kita dengar reformasi. Jangkaan orang ramai ialah dia akan membuat reformasi (selepas) menjadi perdana menteri. Tapi setakat ini 18, 19 bulan selepas dia dilantik PM, kita masih belum nampak reformasi yang betul-betul kukuh.

“Kalau dia tidak buktikan diri reformis (dalam tempoh tiga tahun ini), saya rasa rakyat mungkin hilang harapan terhadap gabungan (PH) dan beliau sendiri,” katanya dalam program Bersama Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan di YouTube malam ini.

Fann berkata, pembangkang seharusnya bijak memainkan peranan dengan membawa agenda reformasi bagi menarik perhatian pengundi, sekiranya kerajaan perpaduan dinaungi PH, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) gagal merealisasikan janji itu.

“Jika ada parti lain boleh janjikan reformasi, mungkin parti itu yang akan dapat undi rakyat,” katanya.

Mengulas sikap pemimpin PH dan parti dalam kerajaan dilihat tidak lantang membawa suara reformasi, Fann berkata, ia sesuatu yang mengecewakan kerana menteri kerajaan perpaduan lebih memilih untuk bersikap ‘pragmatik’.

“Kalau ketua tak kata reformasi…jadi dia takkan lantang sebut reformasi, sebab saya tak dengar pemimpin parti lain mempunyai komitmen lebih untuk (laksana) reformasi, kecewa saya.

“Saya harap pembangkang ambil isu ini dan perjuangkan agenda reformasi kerana ia amat diperlukan,” katanya.

Pemilihan pengerusi SPR tiada ketelusan

Beliau menyifatkan proses pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baharu, Ramlan Harun mendukacitakan kerana pemilihan pesara penjawat awam itu tidak dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang turut dianggota wakil pembangkang.

“Saya tidak mahu sentuh siapa Ramlan ini, tetapi kita pertikai prosesnya. Sekian lama kita cadangkan walaupun PM mempunyai kuasa untuk menasihati Agong pelantikan pengerusi SPR, tetapi dia (Anwar) sebagai reformis, perlulah rujuk calon ini ke jawatankuasa Parlimen supaya semua wakil dalamnya boleh ‘interview’ adakah calon ini mengikut kriteria diperlukan.

“Sebab wakil pembangkang boleh bersuara jika perlu, itu harus berlaku (tetapi Anwar tidak lakukan) dan ia sangat mendukacitakan kami semua yang berada dalam pertubuhan masyarakat sivil.”

Beliau turut menyentuh pemerintahan Dr Mahathir Mohamad pada 2018, di mana perdana menteri dua kali itu memecahkan tradisi pemerintah terdahulu dengan melantik peguam Azhar Harun mengetuai SPR.

“Tun dengar nasihat siapa yang layak, siapa yang ada kepakaran, jadi dia pilih Azhar. Bagi kami, itu adalah permulaan reformasi untuk SPR berubah lebih positif,” kata pengerusi NGO Engage.

Bagaimanapun, reformasi itu terhenti apabila Anwar melantik seorang bekas penjawat awam mengetuai badan bebas yang amat penting dalam sistem demokrasi negara.

“Jika kita nak pilihan raya kelas pertama bertaraf dunia, kita perlu seorang yang ada kemahiran dan pakar serta minat dalam proses (demokrasi) ini,” katanya.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Zuki Ali mengumumkan pelantikan Ramlan, 60, sebagai pengerusi SPR baharu selama enam tahun.

Beliau mempunyai pengalaman 28 tahun dalam perkhidmatan awam dan pernah berkhidmat di beberapa kementerian, dengan kali terakhir memegang jawatan ketua setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.