‘Sekadar gimik’, cadangan Langkawi jadi destinasi pilihan Muslim dipersoal

‘Sekadar gimik’, cadangan Langkawi jadi destinasi pilihan Muslim dipersoal

Pemain industri berkata, penambahbaikan perkhidmatan dan kemudahan akan mempunyai kesan ketara bagi memacu potensi pulau itu sebagai tarikan pelancong.

langkawi
Pemain industri pelancongan di Langkawi berkata, pulau peranginan itu memang destinasi mesra pengunjung Muslim.
PETALING JAYA:
Cadangan menjadikan Langkawi “destinasi pilihan Muslim” mendapat respons negatif, selain kebimbangan dalam kalangan pemain industri pelancongan di pulau peranginan itu.

CEO syarikat penyewaan bot, Alexander Isaac dan pengusaha hotel, Eugene Das berkata, lebih penting menaik taraf kemudahan sedia ada, manakala operator pelancongan, Pishol Ishak menyifatkannya gimik pemasaran.

Das juga bimbang sekiranya tindakan itu bermakna mengenakan syarat patuh syariah yang mungkin memberi kesan negatif kepada sektor pelancongan.

Mereka mengulas cadangan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan untuk menjadikan Langkawi destinasi pilihan Muslim bagi menarik pelancong.

Isnin lalu, Khairul memberitahu Dewan Rakyat, langkah itu untuk menjadikan Langkawi destinasi lebih berorientasikan kekeluargaan dan kerohanian.

Das yang juga presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) cawangan Kedah dan Perlis berkata, banyak lagi yang perlu dilakukan untuk menjadikan Langkawi destinasi lebih menarik bagi pelancong.

“Tapak pelancongan juga mesti diuruskan dengan betul bagi mengelakkan kemudahan kerap rosak. Jika ada apa-apa yang rosak, ia patut dibaiki secepat mungkin,” katanya kepada FMT.

MAH cawangan Kedah dan Perlis mewakili kepentingan 56 pengusaha hotel, dengan enam daripadanya di Perlis. Daripada 50 yang berada di Kedah, 39 beroperasi di Langkawi.

Das turut menggesa audit terhadap pengurusan aktiviti popular seperti meneroka paya bakau dan lawatan pulau bagi menentukan sama ada wujud keperluan meningkatkan kualiti lawatan.

Isaac menggesa infrastruktur pulau dinaik taraf, contohnya mewujudkan lebih banyak laluan mesra basikal serta pejalan kaki, khususnya di kawasan pelancongan.

Sekadar gimik?

Das dan Isaac berkata, Langkawi memang destinasi mesra Muslim dan sudah menarik ramai pelawat beragama Islam.

“Kami menyambut ketibaan ramai pelancong dari Timur Tengah dan negara Islam lain,” kata Isaac sambil menambah ramai pelancong Muslim dari China turut ke Langkawi.

Das berkata, memfokuskan pelancong Muslim ke Langkawi tidak akan memberikan kelebihan kerana “sekalipun kita boleh berusaha menjadi ‘destinasi pilihan Muslim’, kemudahan kita tidak mencukupi”.

Beliau turut menggesa kementerian lebih khusus dalam tafsirannya mengenai “destinasi pilihan Muslim”.

“Timbalan menteri mesti jelas dengan apa yang mahu dilakukannya. Jika sekadar ‘tagline’, Langkawi sudah bersedia. Tetapi, jika kita bercakap mengenai pematuhan syariah, timbul membimbangkan kerana alkohol akan dilarang, selain kod pakaian mungkin diperkenalkan.”

Baru-baru ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing menyuarakan kebimbangan terhadap larangan pengambilan minuman beralkohol dan kod pakaian ketat di Langkawi akan menjejaskan kemasukan pelancong.

Susulan itu, Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor menyelar kenyataan Tiong itu sebagai “fitnah dan pembohongan”.

Pishol melihat cadangan Khairul itu sekadar cubaan meletakkan “tagline” kepada usaha mempromosikan pelancongan halal.

“Namun, sebaik saja kita hanya memfokuskan (untuk menarik pelancong Muslim), kita akan rugi,” katanya yang memiliki Sala Tours and Travel sambil menambah Langkawi sepatutnya terbuka kepada semua, bukan sekadar terhad kepada satu segmen pasaran.

Lembaga Pembangunan Langkawi menjangka tiga juta pelancong melawat pulau itu tahun ini, dengan kira-kira 30% daripadanya dijangka dari Asia Barat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.