Kerani menyamar peguam didakwa

Kerani menyamar peguam didakwa

Tertuduh warga emas didakwa sengaja berpura-pura guna gelaran peguam bagi sebuah firma untuk bertindak peguam cara.

gavel
Tertuduh, K Maragatham, 63, juga didakwa kerana memberi keterangan palsu berkenaan sebuah dokumen bank, dalam prosiding mahkamah pada 2018 dan 2022. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Seorang kerani wanita sebuah firma guaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan menyamar sebagai peguam dan memberi keterangan palsu berkenaan sebuah dokumen bank dalam satu prosiding mahkamah pada 2018 dan 2022.

K Maragatham, 63, didakwa secara sengaja berpura-pura menggunakan gelaran peguam bagi sebuah firma guaman yang membayangkan tertuduh berkelayakan untuk bertindak sebagai seorang peguam cara.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Bukit Damansara pada 3 Feb 2018, mengikut Seksyen 37(1)(B) Akta Profesion Undang-Undang 1976 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 37(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM2,500 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa memberi keterangan palsu berkenaan satu dokumen bank bertarikh 21 Okt 2022 semasa prosiding perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi Sivil di hadapan Hakim Azimah Omar, pada 28 Okt 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Sheryn Yong Shi Yee menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan, manakala peguam Thayalan Moorthy memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya merupakan warga emas.

Majistret Nurul Izzah Shaharuddin membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 8 Ogos ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.