
Pemangku Ketua Polis Pahang Noor Hisam Nordin, berkata pada pertengahan Jun, mangsa telah menerima panggilan daripada individu mendakwa akaunnya dalam siasatan polis kerana telah digunakan sindiket dan turut terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.
“Mangsa telah disambungkan panggilan kepada individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan dikatakan turut terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram. Untuk menyelesaikan kes, mangsa telah diarahkan untuk memindahkan wang ke akaun bank diberikan.
“Akibat terlalu takut, mangsa membuat 12 transaksi ke dalam tiga akaun bank yang berbeza berjumlah RM88,700 dan sumber kewangan adalah wang simpanannya. Menyedari ditipu, mangsa membuat laporan polis di Temerloh,” katanya memetik Bernama.
Dalam pada itu, Noor Hisam turut menasihatkan orang ramai membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan sebaik menerima panggilan meragukan bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.
Beliau berkata masyarakat juga boleh membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima terlebih dahulu di https://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi.