Dianggap tak boleh dipercayai antara sebab Azmin tak jadi PM, kata penulis buku

Dianggap tak boleh dipercayai antara sebab Azmin tak jadi PM, kata penulis buku

Romen Bose, bekas pembantu Najib Razak, berkata Dr Mahathir Mohamad pernah pertimbang Azmin Ali sebagai penggantinya.

tun mahathir mohamad mohamed azmin ali
Dr Mahathir Mohamad pernah merasakan Azmin Ali berpotensi menjadi perdana menteri, menurut buku ‘Shattered Hopes’ oleh Romen Bose. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kesilapan berkait projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mengubah pandangan Dr Mahathir Mohamad terhadap Azmin Ali, yang dahulunya dilihat berpotensi menjadi penggantinya, menurut sebuah buku.

“Walaupun Azmin sentiasa menjadi pilihannya, Mahathir kini benar-benar hampa dengannya,” menurut penulis, Romen Bose.

Pada Januari 2019, Azmin yang ketika itu menteri hal ehwal ekonomi dalam pentadbiran Mahathir mendedahkan kepada pemberita bahawa kerajaan memutuskan untuk membatalkan projek ECRL kerana tidak mampu menanggung kadar faedah tahunannya.

shattered-hopes book

Menurut Bose, Mahathir berpandangan bekas perdana menteri, Najib Razak “merantai negara kepada China” kerana tidak bertegas memasukkan klausa keluar (exit clause) dalam perjanjian berkenaan.

“Namun, pendirian Mahathir berhubung perkara itu hanya untuk kegunaan dalaman anggota Jemaah Menteri,” menurut Bose yang memetik sumber, memandangkan perbincangan dengan China masih berjalan ketika itu.

Katanya, pengumuman Azmin yang dibuat dua hari selepas mesyuarat Jemaah Menteri itu “merumitkan keadaan”.

“Maka, Mahathir kemudian terpaksa mencelah isu itu, tapi turut terpaksa menyokong pendirian Azmin.

“Kita bukan mahu mengecewakan atau membuang kontrak, tetapi kerana kita benar-benar terikat dari segi kewangan. Oleh itu, kami memohon pihak berkenaan faham,” Mahathir dilaporkan berkata pada Januari 2019.

“Azmin betul, tetapi tidak sepatutnya membuat pengumuman itu,” tulis Bose yang memetik sumber.

Bose adalah bekas perunding komunikasi politik kepada Najib.

Pada Ogos 2018, Mahathir mengumumkan projek ECRL membabitkan kos RM65 bilion akan dibatalkan, lantaran kedudukan fiskal kerajaan. Projek itu diteruskan dengan kos pembinaan dikurangkan kepada RM44 bilion setahun kemudian.

Kesilapan bekas timbalan presiden PKR itu dan kemajuan reformasi ekonomi perlahan menyebabkan Mahathir “tidak lagi kagum dengan Azmin seperti tahun sebelumnya”, menurut Bose.

“Mahathir sedikit hampa dengan kebolehan Azmin memimpin dan ketajaman ekonominya.”

Mahathir juga menggelar Azmin “tidak boleh dipercayai” kerana gagal menyelesaikan skandal tanah dan krisis tunai membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), walaupun berjanji akan melakukannya dengan cepat.

Mahathir berkata, keseluruhan hal Felda itu menyebabkan pentadbirannya kelihatan “tidak berfungsi” dan perlahan “di mata rakyat”, menurut Bose.

Peluang Muhyiddin jadi PM

Memandangkan Azmin semakin tidak digemari dan Mahathir keberatan menyerahkan tampuk pemerintahan kepada bekas anak didiknya, Anwar Ibrahim, maka Muhyiddin Yassin mengatur dirinya sebagai calon perdana menteri.

Dengan bantuan dan sokongan orang kepercayaan Mahathir, iaitu Daim Zainuddin, Bose berkata, Muhyiddin berbincang dengan Mahathir tentang kemungkinan beliau menjadi perdana menteri seterusnya.

“Selepas pertemuan itu, Mahathir beritahu pembantu terdekatnya bahawa beliau pada masa itu sedia mempertimbangkan sebarang pilihan termasuk Muhyiddin” yang sebelum itu tidak dipertimbangkan kerana “terlalu tua”, menurut Bose.

“Beberapa hari kemudian, Muhyiddin mula berusaha mendapatkan kuasa, memberitahu kakitangan kanan Mahathir beliau mahu jadi pengganti perdana menteri,” menurut Bose, yang menambah Muhyiddin memberitahu mereka, beliau mendapat restu Mahathir untuk mencabar Anwar.

Pada Februari 2020, Muhyiddin dinamakan perdana menteri kelapan susulan Langkah Sheraton yang menyaksikan Mahathir melepaskan jawatan perdana menteri.

Buku “Shattered Hopes” akan mula dijual 30 Jun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.