Biar panel bebas timbang permintaan turun kandungan media sosial, kerajaan digesa

Biar panel bebas timbang permintaan turun kandungan media sosial, kerajaan digesa

Peguam Andrew Khoo berkata ini akan memastikan ketelusan dalam proses yang sering menjadi pertikaian.

Tiktok
Pensyarah undang-undang Bahma Sivasubramaniam perlu menentukan sama ada platform media sosial terikat dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Kerajaan disarankan menubuhkan satu panel bebas untuk mempertimbangkan permintaan untuk menurunkan sesuatu kandungan di media sosial.

Peguam Andrew Khoo berkata panel timbang tara seperti itu dalam majlis media bebas dapat menyelesaikan sesuatu pertikaian dengan lebih telus.

Andrew Khoo.

Beliau berkata, beban kini terletak pada pihak yang bertanggungjawab bagi hantaran tersebut untuk menunjukkan mengapa ia tidak wajar untuk diturunkan.

“Platform media sosial juga harus lebih terbuka tentang mengapa mereka menurunkan sesuatu hantaran dan mengapa hantaran tersebut melanggar standard komuniti mereka,” kata Khoo kepada FMT.

Beliau mengulas saranan peguam hak asasi manusia Charles Hector untuk mahkamah menyemak permintaan kerajaan untuk menurunkan sesuatu hantaran di media sosial.

Ini selepas pendedahan TikTok bahawa kerajaan membuat 2,202 permintaan untuk mengeluarkan hantaran dan memadam akaun pada tahun lalu.

Hector berkata, amalan penapisan dengan menghapuskan akaun tidak seharusnya berlaku tanpa perintah mahkamah.

“Penapisan secara rahsia oleh pengawal selia adalah tidak adil dan tidak boleh diterima dalam masyarakat demokratik,” katanya.

“Berapa banyak ‘suspek’ yang bertanggungjawab untuk hantaran atau akaun ini disiasat, didakwa di mahkamah, diadili dan disabitkan dengan jenayah?”

Hector berkata kerajaan juga harus mendedahkan permintaan untuk menurunkan hantaran di platform lain seperti Facebook, Google, WhatsApp dan Twitter.

Pensyarah undang-undang, Bahma Sivasubramaniam pula berkata cadangan Hector untuk mahkamah menyemak permintaan menurunkan hantaran di media sosial mungkin sukar dilaksanakan.

Bahma Sivasubramaniam.

Bahma, yang mengajar di Universiti Multimedia di mana beliau pakar dalam undang-undang siber, memberitahu FMT bahawa proses seperti itu memerlukan masa yang lama dan akan membebankan sistem mahkamah yang sudah pun mengendalikan ‘kes yang banyak’.

“Permintaan seperti itu untuk disemak mahkamah melalui semakan kehakiman atau tindakan saman adalah tidak murah dan memakan masa. Ia tidak munasabah untuk dipertimbangkan,” tambahnya.

Beliau mencadangkan agar penggubal undang-undang terlebih dahulu menentukan sama ada platform media sosial terikat dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 walaupun berpangkalan di Eropah dan wilayah lain di luar Malaysia.

Akta mengenakan penalti kepada penyedia perkhidmatan internet dan penyedia perkhidmatan aplikasi kandungan kerana membenarkan kandungan yang menyinggung diterbitkan.

Di bawah Seksyen 211 akta tersebut, menyiarkan sebarang kandungan yang dianggap tidak senonoh, lucah, palsu, mengancam atau menyinggung dengan niat untuk mengganggu, menyalahgunakan, mengancam atau mengganggu mana-mana orang adalah satu kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.