2 lelaki ditahan berkait kes ragut di Kesas

2 lelaki ditahan berkait kes ragut di Kesas

Suspek berusia 33 dan 32 tahun ditahan sekitar Klang susulan laporan diterima.

handcuff
Dua lelaki yang terakam cuba meragut pengguna Lebuhraya Kesas semalam ditahan.
SHAH ALAM:
Polis menahan dua lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian cubaan meragut barangan berharga milik seorang wanita di Lebuhraya Kesas semalam yang tular di media sosial.

Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim, berkata suspek berusia 33 dan 32 tahun masing-masing bekerja sebagai pencuci kereta dan pembantu kedai makan itu ditahan pada 1.30 hingga 3 pagi tadi di sekitar Klang susulan laporan diterima.

Beliau berkata, polis menerima laporan daripada mangsa berumur 58 tahun pada 8.35 pagi semalam yang mendakwa diragut semasa berhenti di tepi jalan ekoran kereta yang dinaikinya mengalami kerosakan sekitar 7 pagi.

“Menurut mangsa, kedua-dua suspek pada mulanya berhenti bersebelahan keretanya sambil berpura-pura bertanyakan sesuatu dan menawarkan diri untuk membantu mangsa sebelum secara tiba-tiba seorang daripada suspek bertindak mengambil dompet yang berada di dalam beg silang yang dipegang oleh mangsa.

“Mangsa kemudian bertindak menangkap tangan suspek yang membonceng motosikal tetapi tindakan tersebut menyebabkan mangsa terseret atas jalan raya sehingga cedera,” katanya dalam kenyataan.

Iqbal berkata, kejadian itu terakam di ‘dashcam’ kereta salah seorang pengguna jalan raya yang secara kebetulan melalui laluan tersebut.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya berjaya menangkap dua lelaki tersebut dan menemukan semula barangan yang diragut iaitu kad bank serta lesen memandu kepunyaan mangsa termasuk motosikal yang digunakan semasa kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, selain mereka juga didapati positif dadah jenis methamphetamine setelah ujian saringan air kencing dilakukan.

Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua puluh tahun dan denda atau sebat jika disabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.