
Ketua Penerangan Umno Sabah, Suhaimi Nasir berkata, tiada autonomi politik yang hanya membenarkan parti politik berpangkalan di Sabah bertanding kerusi di negeri itu seperti didakwa Kitingan.
“Umno bertapak di Sabah sekian lama dan mempunyai kuasa autonomi sendiri di Sabah. Tiada isu untuk Umno Sabah tidak menghormati autonomi Sabah.
“Yang bertanding merebut kerusi pilihan raya di Sabah, dari parti Umno itu adalah anak jati Sabah itu sendiri. Lagipun, Umno telah diberi kuasa dalam mengurus segala urusan parti mengikut acuan Sabah itu sendiri,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, parti itu sentiasa berusaha dan tidak pernah berdiam diri berhubung isu dikaitkan dengan tuntutan 40% hasil negeri dikutip kerajaan persekutuan.
“Umno Sabah sentiasa komited menyuarakan dan mengemukakan tuntutan berkenaan kepada kerajaan persekutuan.”
Kelmarin, Kitingan dilaporkan meminta parti politik berpangkalan di Semenanjung tidak merebut kerusi Parlimen di Sabah sebagai menghormati autonomi politik negeri itu.
Beliau berkata, pembahagian kerusi Parlimen dilakukan ketika pembentukan Malaysia, di mana Semenanjung memiliki 65% kerusi Parlimen, manakala Sabah dan Sarawak hanya 35%.
Beliau mendakwa peratusan itu berkurangan kepada 25%, manakala kerusi di Semenanjung bertambah sehingga 75%.