Sultan Selangor murka kes curi tabung masjid

Sultan Selangor murka kes curi tabung masjid

Sultan Sharafuddin Idris Shah kecewa pengurusan Masjid Tengku Ampuan Jemaah tidak melaporkan kejadian itu kepada Jabatan Agama Islam Selangor.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berharap pihak pengurusan Masjid Tengku Ampuan Jemaah mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kecurian tabung berulang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dengan kecurian tabung sumbangan orang ramai di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong, Shah Alam, baru-baru ini.

Lebih mendukacitakan baginda, pengurusan masjid itu tidak melaporkannya kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Selangor Royal Office dalam kenyataan berkata, baginda murka dengan pelaku yang tergamak mencuri duit tabung masjid hasil sumbangan dan sedekah orang ramai, bertujuan kesejahteraan umat Islam di kariah berkenaan.

“Baginda mengingatkan bahawa perbuatan mencuri adalah perbuatan keji dan satu dosa besar khususnya apabila melibatkan kebajikan untuk golongan kurang berkemampuan seperti asnaf dan anak-anak yatim,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut harapan baginda supaya masjid terbabit mengambil pencegahan awal antaranya mengetatkan kawalan keselamatan dan memastikan kamera litar tertutup (CCTV) sentiasa berfungsi.

“Baginda berharap kejadian kecurian tabung masjid sebegini dapat dibendung dan tidak akan berlaku lagi di mana-mana masjid dan surau khususnya di Selangor,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.