
Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris, berkata pihaknya menghormati hak speaker yang memerlukan masa untuk membuat keputusan memandangkan ia berkait undang-undang, namun tidak perlu hingga 21 hari walaupun peraturan membenarkannya.
“Tak perlu ambil masa 21 hari, terus sahaja laksana demokrasi…laksana akta antilompat parti dan serah balik mandat kepada rakyat. Soal Ahli Parlimen terlibat nak bawa ke mahkamah itu hal lain.
“Sebabnya sudah jelas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) setuju luluskan pindaan Perlembagaan Bersatu,” katanya kepada FMT.
Razali berkata, apabila wakil rakyatnya tidak menyatakan sokongan kepada surat diserahkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), selaras pindaan Perlembagaan Bersatu maka keahlian mereka terhenti.
“Kita faham speaker baru terima surat, beliau mungkin perlukan masa jadi tempoh seminggu atau dua minggu memadai untuk buat keputusan,” katanya.
Semalam, Johari mengesahkan menerima notis daripada Ketua Whip Bersatu Ronald Kiandee, Jumaat lalu, dan akan membuat keputusan dalam 21 hari berhubung permohonan mengosongkan enam kerusi wakil rakyat menentang parti itu.
Kerusi terbabit dan penyandangya adalah Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Azizi, Zahari, Syed Hussin, Zulkafperi dan Iskandar terlucut keahlian kerana gagal menjawab surat arahan bertulis MPT Bersatu untuk menzahirkan ikrar taat setia selain terus menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Keahlian Suhaili pula terhenti kerana memfailkan saman ke atas Bersatu pada 19 Dis tahun lalu.
Minggu lalu, Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Abdullah mengisytiharkan kerusi Nenggiri kosong dan Suruhanjaya Pilihan Raya akan bermesyuarat Jumaat ini untuk membincangkan pelaksanaan PRK di kawasan itu.
Nasib Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari yang menyokong pentadbiran Menteri Besar Selangor Amirudin Shari pula belum diketahui sehingga kini.