
Zahid menggesa Mahathir mengetepikan perbezaan politik dan menyertai pakatan Umno dan PAS untuk memperkukuh kedudukan politik orang Melayu sangat lemah selepas Pakatan Harapan (PH) berkuasa dengan Mahathir dilantik perdana menteri.
Penulis Romen Bose memetik sumber sebagai berkata, Mahathir kelihatan “terlalu marah” dengan cadangan Zahid itu.
“Pembantunya berkata mereka tidak pernah lihat Mahathir marah seperti itu, malah memarahi Zahid dan delegasi Umno. Mahathir tak ubah seperti seorang bapa atau masih presiden Umno kerana beliau berang dan tidak henti memarahi mereka sepanjang pertemuan itu,” tulis Bose dalam bukunya bertajuk “Shattered Hopes”.
Menurutnya, Mahathir menyelar mereka selama 45 minit kerana berpihak kepada Najib Razak serta “memusnahkan Umno dan membawa kehancuran kepada orang Melayu”.
“Beliau menggelar mereka bangang, pertama kerana hilang sokongan orang Melayu dengan begitu teruk sehingga merosakkan negara, dan kedua sebab tampil dengan cadangan seolah-olah keadaan antara mereka boleh diperbaiki demi perpaduan orang Melayu.”
Mahathir yang juga pengerusi Bersatu ketika itu memberitahu mereka, partinya atau PH tidak mungkin menerima cadangan disifatkannya mengarut, walaupun mendapat sokongan semua Ahli Parlimen Umno dan PAS, menurut Bose.
“Mahathir memanggil Umno busuk dan jijik, serta beliau tak mungkin menerima Umno lagi dalam bentuknya sekarang atau sebagai rakan sekutu dalam apa jua cara.”
Sebaliknya, beliau memaklumkan delegasi Umno itu bahawa satu-satunya cara untuk mara ialah semua ahli parti itu menyertai Bersatu terlebih dulu sebagai ahli biasa.
Sumber memberitahu Bose, Mahathir meletakkan syarat seluruh kepimpinan Umno perlu mengisytiharkan aset mereka dan membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan penuh terhadap kekayaan mereka. Hanya selepas diisytiharkan bersih oleh SPRM, barulah mereka layak menyertai Bersatu.
Rancangan Mahathir ialah untuk Ahli Parlimen Umno menyertai Bersatu atau dibiarkan terumbang-ambing, kata sumber dipetik Bose.
Tetapi, Bose berkata, Mahathir tidak menaruh harapan tinggi jumlah Ahli Parlimen Bersatu akan bertambah dengan ketara dan bimbang “realpolitik akan memaksanya menerima individu tercemar”.
Dr M tak mahu Anwar menang di Port Dickson
Menurut sumber Bose, delegasi Umno itu bersama Mahathir dan pembantunya turut membincangkan PRK Port Dickson, di mana Anwar Ibrahim bertanding untuk membolehkannya menjadi Ahli Parlimen, seterusnya layak dilantik perdana menteri kelak.
Mahathir secara peribadi tidak dapat menerima Anwar menjadi perdana menteri, walaupun beliau menyuarakan sokongan secara terbuka kepada Anwar.
“Susulan pertemuan itu, Mahathir memberitahu pembantunya bahawa Tok Mat (Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan) patut mempertimbangkan untuk bertanding dan menang di Port Dickson untuk menghalang Anwar menjadi perdana menteri.”
Bagaimanapun, daripada perbincangan itu, Mohamad tidak berminat bertanding kerana bimbang kempennya akan disabotaj.
Walaupun pertemuan dengan Mahathir tidak membuahkan hasil positif, Bose berkata, Zahid dan kepimpinan Umno tidak sekadar pasrah menerima keadaan.
Menyifatkan Zahid sebagai “survivor”, beliau berkata, presiden baharu Umno itu tahu beliau perlu membawa parti dan gabungannya kembali berkuasa serta itu fokus beliau sepenuhnya.
“Dan kemudian peluang menyusul, yang berakhir dengan apa dikenali sebagai Langkah Sheraton,” menurut Bose.
Langkah Sheraton merujuk komplot politik yang menyaksikan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menarik partinya keluar daripada kerajaan campuran PH dan seterusnya membawa kepada pembentukan kerajaan Perikatan Nasional-Umno, 22 bulan selepas PRU 2018.
Buku baharu Bose bertajuk “Shattered Hopes” menawarkan perspektif dalaman terhadap apa yang berlaku selepas PRU 2018, di mana PH menamatkan pemerintahan BN selama enam dekad.
Buku itu akan dijual mulai 30 Jun ini.