‘Dr M terkejut saya tentang pengharaman Umno’, dedah Guan Eng

‘Dr M terkejut saya tentang pengharaman Umno’, dedah Guan Eng

Lim Guan Eng berkata rancangan mengharamkan Umno pada 2018 hanya akan menyebabkan kerajaan PH waktu itu dilihat jauh lebih teruk.

lim guan eng Mahathir Mohamad Wan Azizah
Lim Guan Eng dilantik menteri kewangan dalam Kabinet diketuai Dr Mahathir Mohamad selepas PRU14. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Pengerusi DAP Lim Guan Eng mendedahkan Dr Mahathir Mohamad terkejut dengan tindakannya menentang rancangan mengharamkan Umno ketika pemimpin veteran itu menjadi perdana menteri buat kali kedua pada 2018.

Lim yang menjadi menteri kewangan ketika itu berkata, tindakan berkenaan hanya akan menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat jauh lebih teruk berbanding pentadbiran Umno.

“Beliau (Mahathir) terkejut dengan penentangan saya terhadap hasratnya bagi mengharamkan Umno sebagai parti politik. Biarpun kita menentang Umno ketika itu, saya berpandangan hal ini adalah jelas bertentangan dengan hak asasi iaitu kebebasan untuk berpersatuan.

“Umno tidak pernah mengharamkan DAP atau PKR semasa kita menjadi pembangkang dan saya berpandangan pengharaman tersebut bakal menyebabkan kita dilihat jauh lebih teruk daripada Umno sekiranya dilaksanakan oleh beliau.

“Saya mendedahkan isu ini kepada Anwar Ibrahim dan kami berjaya memaksa Mahathir untuk melupakan hasrat dan idea tersebut,” katanya di Facebook.

Umno kini menjadi sekutu DAP yang membentuk kerajaan perpaduan pasca PRU15 dan bekerjasama pada PRN Ogos lalu serta beberapa PRK.

Kenyataan Ahli Parlimen Bagan itu menyusul pendedahan menggambarkan peristiwa selepas PH berkuasa pada 2018 menerusi buku bertajuk ‘Shattered Hopes’ tulisan bekas perunding politik Romen Bose yang dijual mulai 30 Jun ini.

Gabungan itu berkuasa sehingga peristiwa Langkah Sheraton pada 2020, merujuk kepada mainan politik membawa kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menarik partinya daripada kerajaan campuran PH, seterusnya membawa kepada pembentukan kerajaan Perikatan Nasional-Umno, 22 bulan selepas PRU 2018.

Lim yang ingin memperbetulkan sudut pandang Mahathir dalam buku itu mendakwa, bekas Ahli Parlimen Langkawi mula dilihat menghina tekad manifesto PH PRU14 apabila secara terbuka dan mengingkari hampir setiap janji dibuat.

“Bermula dengan kenyataan bahawa manifesto pilihan raya PH bukanlah ‘kitab suci’, kepada menentang janji-janji utama secara terbuka seperti pengurangan tol lebuh raya, pentadbiran PH pada 2018 lantas menjelma menjadi medan pertempuran sengit setiap hari.

“Pertembungan jelas antara mereka yang ingin melaksanakan janji-janji pilihan raya dengan barisan pembuli yang diketuai oleh timbalan presiden PKR ketika itu dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali,” katanya.

Dakwa Lim, Mahathir secara terbuka pernah mengugut untuk memecatnya tiga kali semasa mesyuarat Kabinet dan marah kepadanya susulan desakannya untuk mengurangkan kadar tol Lebuhraya Utara-Selatan sebanyak 18%.

“Beliau juga menentang tindakan saya bagi melaksanakan tender terbuka untuk perolehan kerajaan dan memberi peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen kerajaan.

“Walaupun beliau memberikan tentangan, saya berjaya melobi majoriti anggota Kabinet untuk bersetuju dengan cadangan-cadangan ini lantas menimbulkan kekecewaan di dalam dirinya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.