
CEO bergelar Datuk bersama dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya itu direman empat hari hingga 28 Jun.
Manakala, lima lagi individu iaitu pemilik syarikat pula direman tiga hari hingga 27 Jun.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malasyia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
Sumber berkata, tiga suspek daripada syarikat konsesi itu membabitkan dua lelaki dan seorang wanita, manakala pemilik syarikat pula melibatkan lima lelaki yang kesemua berusia sekitar 40 hingga 50-an ditahan dalam Ops Lintas antara 8 hingga 11 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM.
“Tiga suspek yang berkhidmat di syarikat konsesi lebuh raya ini disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik syarikat berkenaan sebagai balasan bagi mendapat kontrak mengambil alih kerja pembinaan yang sebelum ini dijalankan satu syarikat lain bernilai lebih RM1 bilion.
“Selain itu, mereka juga dipercayai telah meminta dan menerima rasuah membabitkan pembinaan satu seksyen projek lebuh raya lain di Lembah Klang bernilai lebih kurang RM670 juta. Keseluruhan nilai kedua-dua projek itu adalah berjumlah RM11 bilion,” katanya.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan tangkapan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) berkata, pihaknya maklum beberapa warga kerjanya direman SPRM bagi membantu siasatan membabitkan kes pembinaan.
Katanya, Prolintas komited dan sedia bekerja rapat dengan semua pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan kerjasama penuh dalam membantu siasatan.
“Prolintas terus komited dalam mengekalkan integriti dan tadbir urus korporat pada tahap tertinggi,” katanya dalam kenyataan.