Bekas penolong pengurus mengaku tak salah rasuah RM43,900 babit konsert Search, Barbarik

Bekas penolong pengurus mengaku tak salah rasuah RM43,900 babit konsert Search, Barbarik

Noorfadhilah Mohd Idris didakwa meminta dan menerima rasuah berhubung penganjuran Konsert Double Trouble 2 tahun lalu.

Mahkamah KL
Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 bagi kedua-dua tuduhan.
PETALING JAYA:
Seorang bekas penolong pengurus sebuah syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dakwaan meminta dan menerima rasuah berhubung penganjuran Konsert Double Trouble 2 tahun lalu.

Noorfadhilah Mohd Idris, 37, membuat pengakuan itu di depan Hakim Suzana Hussin.

Dia didakwa meminta suapan RM30,000 daripada Abd Zamin Abd Kadir sebagai upah mendapatkan kelulusan Geran Dana Kandungan Digital bagi Playmad Sdn Bhd dalam penganjuran konsert itu.

Wanita itu juga didakwa menerima suapan melalui cek tunai berjumlah RM13,900 daripada akaun bank milik Anggerik Event Sdn Bhd sebagai upah mendapatkan kelulusan geran bagi penganjuran konsert sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank cawangan Setapak di Taman Setapak Indah Jaya antara Januari dan 11 Sept 2023, lapor Berita Harian.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali menawarkan jaminan RM20,000 berserta syarat tambahan, iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tetapi, peguam Mohd Zali Shaari memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya sedang mengandung lapan bulan dan tidak bekerja disebabkan kes itu.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 bagi kedua-dua tuduhan berserta syarat tambahan dan menetapkan sebutan semula kes pada 9 Ogos ini.

Hasil semakan mendapati Konsert Double Trouble 2 dijayakan dua band gergasi, Search dan Barbarik pada Ogos 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.