
Senator RA Lingeshwaran menyifatkan keputusan mahkamah “langkah tepat”. Saman enam graduan Universiti Sains Malaysia terhadap MPM ditangguhkan sementara menunggu pindaan Akta Perubatan.
Pindaan itu dipercayai membabitkan pengiktirafan kelayakan pakar.
MPM disaman beberapa doktor awal tahun ini kerana menolak permohonan mereka untuk disenaraikan dalam Daftar Pakar Kebangsaan (NSR).
Peguam MPM, Jessica Ram Binwani berkata, Mahkamah Tinggi pada Khamis bersetuju dengan permintaannya untuk menangguhkan perbicaraan kes membabitkan graduan, sementara menunggu pindaan undang-undang.
Enam graduan yang menerima biasiswa kerajaan itu meminta tidak dinamakan.
Kes itu ditetapkan untuk pendengaran pada 21 Ogos ini. Tetapi, pindaan Akta Perubatan dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang akan datang mulai hari ini hingga 18 Julai.

Lingeshwaran berkata, beliau dimaklumkan Kementerian Kesihatan sudah menemui beberapa kumpulan berkaitan untuk membincangkan pindaan akta berhubung pengiktirafan semua kelayakan lepasan ijazah.
Katanya, dua lagi saman berkaitan pengiktirafan kelayakan pakar yang belum selesai juga perlu ditangguhkan. Satu saman itu difailkan empat pakar bedah kardiotoraks laluan selari dan satu lagi oleh seorang pakar bedah saraf berpangkalan di Singapura.
“Memandangkan pindaan itu dijangka merangkumi pengiktirafan semua kepakaran untuk penyenaraian dalam daftar, lebih baik tiada keputusan dibuat sekarang kerana ia mungkin merumitkan keadaan,” katanya kepada FMT.
Jessica berkata, ketika pendengaran pada Khamis lalu, hakim memberitahu rang undang-undang (RUU) Parlimen biasanya akan siap sekurang-kurangnya dua minggu sebelum Parlimen mula bersidang.
Menurutnya, RUU itu mungkin dihalang daripada didedahkan sehingga ia dibentangkan dan mereka perlu melihat butiran pindaan dicadangkan sebelum pihak pembelaan boleh memutuskan tindakan lanjut.
April lalu, empat pakar bedah kardiotoraks menyaman MPM yang menolak permohonan mereka untuk disenaraikan dalam NSR. Empat doktor itu ialah Nur Aziah Ismail dan Chong Kee Soon dari Institut Jantung Negara serta Syed Nasir Syed Hassan dan Lok Yuh Ing di hospital kerajaan.
Mahkamah Tinggi turut membenarkan seorang doktor memulakan prosiding semakan kehakiman atas keengganan MPM mendaftarkannya sebagai pakar bedah saraf tahun lalu.
Dr Lu Yeow Yuen, 42, mahu perintah yang memaksa MPM menerima permohonannya untuk pendaftaran sebagai pakar bedah saraf dan namanya dimasukkan ke dalam NSR.