
Ketua Polis Gerik, Zulkifli Mahmood berkata dalam kejadian kira-kira 3.15 petang semalam itu, warga emas 65 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, siasatan mendapati mangsa ke kebun getah itu untuk mencari kayu, sebelum teriakannya disusuli bunyi tempikan gajah didengari anak perempuannya berusia 44 tahun.
Beliau berkata, selepas keadaan reda, anak perempuan mangsa bergegas ke tempat kejadian bersama abang iparnya dan menemui mangsa dalam keadaan terbaring berlumuran darah.
“Saksi terlihat kelibat seekor gajah di kawasan itu. Semasa berada di kebun getah terbabit, mangsa dipercayai terserempak dan dipijak seekor gajah,” katanya menurut Berita Harian.
Menurutnya, kes diklasifikasi mati mengejut dan menasihatkan penduduk sekitar RPS Pos Kemar lebih berwaspada ketika menjalankan aktiviti pertanian serta memaklumkan pihak berkuasa jika mendapat maklumat kehadiran hidupan liar untuk tindakan sewajarnya diambil.