MBSB bayar balik wang dikeluarkan secara haram sindiket di KK

MBSB bayar balik wang dikeluarkan secara haram sindiket di KK

Sindiket itu berpakat dengan beberapa pekerja untuk membuat pengeluaran secara haram menggunakan kad pengenalan yang dipalsukan.

MBSB Bank akan terus bekerjasama dengan polis dan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan mereka yang terlibat dikenakan tindakan yang sewajarnya. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
MBSB Bank Bhd membayar balik semua wang yang dikeluarkan secara haram daripada akaun pelanggannya dalam satu kes di Kota Kinabalu baru-baru ini.

MBSB berkata ia secara aktif bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memastikan penyelesaian lancar dan telus kejadian itu, di mana satu sindiket berpakat dengan beberapa kakitangan bank untuk membuat pengeluaran secara haram.

“Sindiket ini menggunakan kad pengenalan yang dipalsukan untuk membuat pengeluaran wang secara haram daripada akaun pelanggan.

“Beberapa kakitangan kami yang terlibat kini berada dalam tahanan polis,” kata bank itu dalam satu kenyataan.

MBSB berkata ia komited mengekalkan integriti dan akan terus bekerjasama dengan polis dan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan individu yang terlibat dikenakan tindakan sewajarnya.

“Keutamaan kami adalah keselamatan dan kepercayaan pelanggan. Kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Bernama melaporkan, polis menahan 14 individu, termasuk empat pekerja bank, bagi membantu siasatan berhubung pengeluaran wang secara haram berjumlah RM24.2 juta dari beberapa akaun simpanan tetap.

Polis menerima empat laporan daripada pemegang akaun dan kakitangan bank pada awal Jun di Petaling Jaya, Selangor, selepas mangsa menyedari pengeluaran wang tunai yang mencurigakan dari akaun simpanan tetap mereka.

Bank Negara turut mengarahkan pembayaran balik segera kepada semua pemegang akaun yang terjejas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.